MAHIADDIN, BILA LAGI NAK TEKAN ‘BUTTON’?


Apa yang pasti, selepas PRN Melaka ini para pemimpin UMNO tentu lebih tinggi sombong, ego serta lagak mereka.

Kemenangan cemerlang BN secara solo itu bukan saja akan menjadikan Bersatu terus menjadi sasaran permusuhan, malah juga jadi perlecehan yang berterusan daripada pemimpin-pemimpin UMNO, meski kedua-dua parti duduk bersama dalam membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Sebagaimana sekarang UMNO dan Bersatu ibarat anjing dan kucing yang bermusuhan setiap hari, kemenangan bergaya BN di Melaka tidak lain hanya akan merancakkan lagi pertelagahan tersebut.

Tidak terkecuali daripada itu, Pas yang sebelum ini menolak pelawaan UMNO untuk bersama mereka dan lebih memilih bersama Bersatu dalam PN, pasti turut akan ditolak sama selepas ini.

Teori UMNO tidak mampu menang secara sendirian tanpa bekerjasama dengan Pas dan Bersatu untuk berlawan dengan PH telah terbukti tidak betul sama sekali.


Untuk itu, Pas dan Bersatu sudah tidak diperlukan lagi oleh UMNO perjalanannya untuk menuju PRU15 akan datang.

Melalui kemenangan lebih 2/3 di Melaka, UMNO kini juga sudah boleh menghantar keranda kepada Pas untuk Muafakat Nasional dikuburkan dengan serta-merta.

Sebagaimana Bersatu sudah ditolak, Pas juga bukan lagi keperluan UMNO untuk dijadikan sahabat kerjasama.

Rasionalnya, kalau UMNO sudah boleh menang sendiri dan tanpa berkongsi kerusi, apa lagi perlunya ada Pas di sisi?

Walaupun Bersatu dan Pas yang berada dalam Perikatan Nasional masih merupakan sebahagian kerajaan di peringkat pusat, keberadaan kedua-dua parti itu hanya penting kepada Ismail Sabri Yaakob, tetapi tidak kepada UMNO.

Zahid Hamidi dan Najib Razak yang kini menguasai UMNO bukan saja paling gembira selepas kejayaan di Melaka, malah barangkali sedang merancang skrip seterusnya untuk terus memperlekeh Mahiaddin Md Yasin dan Bersatu.

Soal bahawa PN yang diterajui Mahiaddin masih merupakan gabungan yang diperlukan oleh Ismail Sabri untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri bukan lagi merupakan pertimbangan yang penting bagi Zahid Hamidi dan Najib.

Bagi mereka, kalau Mahiaddin, PN atau Bersatu mahu menarik sokongan sekali pun terhadap Ismail Sabri, ia bukanlah perkara yang membimbangkan kerana jika diadakan PRU15 kemudiannya, BN secara solo pasti senang-senang boleh memenanginya sebagaimana telah terbukti di Melaka.

Dalam semua keadaan ini, berapa lama Mahiaddin dan Bersatu mampu menahan rasa pedih hati jika hari-hari diperlekeh oleh Zahid Hamidi, Najib serta lain-lain pemimpin UMNO?

Masih lagikah tak mahu menekan apa-apa “button” untuk memberi pengajaran kepada UMNO?

Tambahan lagi, disebabkan pernah menjadi Perdana Menteri, Mahiaddin tidak rugi apa-apa jika kerajaan Ismail Sabri yang dibayangi Zahid Hamidi dan Najib ini dijatuhkan, silap-silap peluangnya terbuka lagi untuk menduduki kerusi Perdana Menteri buat kali kedua. –


 ShahbudinHusin 21/11/2021.




No comments: