Kekalahan PKR di PRN Melaka ‘tamparan hebat’ bagi Anwar

ng Pek Mei

 -
Penganalisis berkata, rakyat kini mungkin mempersoalkan kepimpinan Anwar Ibrahim.

AYER KEROH: Kekalahan besar PKR pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, di mana parti itu tumpas di semua 11 kerusi ditandingi, adalah “tamparan hebat” bagi presidennya, Anwar Ibrahim, kata seorang penganalisis.

James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, kekalahan itu disebabkan hilangnya keyakinan rakyat kepada Anwar, yang dilihat sebagai individu utama di sebalik keputusan Pakatan Harapan (PH) “menerima ‘katak’ (politik)”.Beliau merujuk kepada keputusan Anwar dan Presiden Amanah Mohamad Sabu mencalonkan dua bekas ahli Umno, Idris Haron and Noor Azman Hassan, dalam PRN.

Chin menyifatkan hilangnya sokongan kepada PKR ini sebagai “trend yang sangat berbahaya”.

“Jika trend ini berulang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tahun depan, PKR akan musnah,” katanya kepada FMT.

PKR memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada pilihan raya umum 2018 (PRU14)

Kata Chin, jelas bahawa DAP adalah satu-satunya parti Pakatan Harapan (PH) yang menunjukkan prestasi baik di Melaka.

Parti berkenaan memenangi empat daripada lapan kerusi ditandinginya, manakala Amanah hanya satu daripada sembilan kerusi ditandingi.

Chin berkata, satu lagi pihak yang kalah besar adalah Perikatan Nasional (PN), memandangkan Gerakan tidak memenangi satu kerusi pun, walaupun bertanding di lima kerusi, dan PAS (yang tidak memenangi mana-mana lapan kerusi ditandingi) “bukanlah peserta serius di Melaka”.

“Jadi, saya rasa Muhyiddin (Yassin) agak bermasalah sekarang,” tambahnya.

Seorang penganalisis lain, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah juga berkata, rakyat mungkin mempersoalkan kepimpinan Anwar.

“Seperti yang kita tahu, semasa PRU14, Wan Azizah yang memimpin PKR ke arah kejayaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, rakyat perlu terima bahawa Melaka selama ini menjadi kubu kuat BN.

“Hanya pada PRU lalu kita lihat Umno cuma memenangi 13 kerusi di Melaka,” katanya.

Lee berkata, beliau tidak percaya PKR akan mempunyai peluang lagi mendapatkan semula Putrajaya seperti pada PRU lalu.

“Saya percaya ramai rakyat Malaysia mahu melangkah meninggalkan Dr Mahathir Mohamad, Anwar atau Lim Kit Siang, serta semua muka dan nama yang sama,” katanya.