Azeez belum bebas tuduhan rasuah, ubah wang haram, kata SPRM

 

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata bekas pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim belum dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Dalam kenyataan, SPRM turut menjelaskan kenyataan peguam bela Azeez, Amer Hamzah Arshad yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam bahawa analisis laporan kewangan oleh SPRM sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah.

“Susulan itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Azeez telah bebas daripada semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” katanya.

No comments: