Putrajaya arah SPR laksana Undi18 tahun ini


SPR sebelum ini dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi secara automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun ditangguhkan selepas 1 Sept 2022 akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.

PUTRAJAYA: Putrajaya sudah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersiap sedia melaksanakan pindaan Undi18 sebelum 31 Dis ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan belum memutuskan sama ada akan memfailkan rayuan, tetapi ia akan mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Kuching.

“Ia belum diputuskan lagi sama ada kami mahu merayu. Saya akan membincangkan perkara ini dengan peguam negara dan Kabinet.

“Tetapi, SPR sudah diarahkan bersiap sedia melaksanakannya (menjelang 31 Dis),” katanya dalam sidang media hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan kerajaan melaksanakan pindaan Undi18 sebelum 31 Dis ini, selepas membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu pimpinan Muhyiddin Yassin tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew turut mengeluarkan perintah untuk membatalkan keputusan kerajaan persekutuan yang pindaan Undi18 hanya boleh dilaksanakan menjelang September 2022.

“Kita perlu mematuhinya kerana ia adalah perintah mahkamah. Apabila mahkamah membuat keputusan, kita perlu terima dan melaksanakannya,” kata Wan Junaidi hari ini.

Beliau berkata, terdapat 5.6 juta pengundi tidak berdaftar di Malaysia, dengan 1.19 juta daripadanya berusia 18 hingga 20 tahun dan 4.41 juta berusia 21 tahun ke atas.

Rang Undang-undang Undi18, yang dikenali secara rasminya sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019, diluluskan Dewan Negara pada Julai 2019 dan diwartakan dua bulan kemudian. Pindaan itu menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Sebelum ini, SPR dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi secara automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun akan dilaksanakan mulai Julai tahun ini, tetapi ia ditangguhkan selepas 1 Sept 2022 akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.

No comments: