Khuatir risiko jangkitan Covid-19, ibu bapa masih tak yakin hantar anak ke sekolah

 

Menteri Pendidikan Radzi Jidin dilaporkan mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan dimulakan semula pada 3 Okt.

PETALING JAYA: Masih ada ibu bapa yang meluahkan kebimbangan untuk membenarkan anak mereka meneruskan sesi persekolahan pada 3 Okt kerana khuatir dengan risiko jangkitan Covid-19.

Syarifah Abdul, ibu kepada pelajar sekolah rendah di Perak berkata, dengan penularan varian baharu serta ketiadaan makluman mengenai pemberian vaksin kepada murid, beliau berasa lebih selamat jika anak-anaknya meneruskan pembelajaran dari rumah.

“Kes masih lagi berbelas ribu dengan wujudnya varian-varian baharu, murid sekolah pun masih belum lagi diberi vaksin, jadi saya sebagai ibu, saya bimbang nak hantar anak ke sekolah.

“Varian-varian baharu ini kita tidak tahu sejauh mana ia boleh menyerang, malah kanak-kanak pun tidak terlepas daripada terkena jangkitan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, jika sesi persekolahan ingin diteruskan, inisiatif seperti membuka kelas secara bergilir-gilir boleh dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

“Kalau sekolah tetap dibuka, saya rasa elok kelas dibuat secara bergilir-gilir untuk mengurangkan bilangan pelajar di sekolah dan SOP yang lebih ketat perlu ditekankan,” katanya.

Sementara itu seorang lagi ibu, Halimahton Ibrahim berkata, pihak sekolah juga perlu memaklumkan terlebih dahulu status vaksinasi guru dan kakitangan kepada ibu bapa sebelum sesi persekolahan bermula.

“Bagi saya, sebelum sekolah dibuka, saya harap ibu bapa dimaklumkan terlebih dahulu status vaksinasi guru dan kakitangan yang terlibat dalam sesi persekolahan Oktober ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, ibu kepada pelajar sekolah menengah di Kelantan, yang ingin dikenali sebagai Hafidah pula menyambut baik pembukaan sekolah bagi membolehkan anak-anak meneruskan sesi pembelajaran yang lebih berkualiti bersama guru secara bersemuka.

Hafidah berkata, kelas secara dalam talian menjadi mencabar apabila ibu bapa tidak dapat memantau pembelajaran anak-anak memandangkan ada yang perlu bekerja.

“Bagus juga sekolah dibuka secara bersemuka, cabaran juga belajar dari rumah ini sebab kami ada yang keluar bekerja, memang tak sempat pantau anak-anak, jadi memang bergantung kepada guru.

“Lagi-lagi anak saya bakal menduduki PT3, jadi saya rasa lebih baik dia belajar secara bersemuka sebab kalau di rumah ini, susah nak fokus dengan masalah internet lagi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin dilaporkan mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan mulai 3 Okt.

Bagaimanapun katanya, ia tidak melibatkan negeri yang masih berada bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), iaitu Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

No comments: