Bayangan #KerajaanGagal masih membelenggu Umno, malah sesuatu yang membimbangkan parti itu ketika negara beralih ke fasa baharu kepimpinan, kata seorang ahli Majlis Kerja Tertingginya (MKT).
Azalina Othman Said berkata, kecaman terhadap pentadbiran Muhyiddin Yassin yang membawa kepada peletakan jawatannya, tetap boleh dilemparkan terhadap Umno, sekalipun orang lain kini menjadi perdana menteri, iaitu pemimpin Umno, Ismail Sabri Yaakob.
“Antara perkara paling membimbangkan bagi parti ini adalah liabiliti #KerajaanGagal. Memang parti bimbang dikaitkan dengannya,” katanya kepada FMT.
“Pengisytiharan darurat, penutupan Parlimen selama lebih enam bulan dan sekali lagi pada hari terakhir persidangan – semuanya berkaitan dengan kebertanggungjawaban kepada pengundi.”
Kerajaan yang terdahulu kerap dikritik atas caranya menangani wabak, yang juga menjadi antara punca beberapa Ahli Parlimen Umno, termasuk Azalina, menarik balik sokongan kepada Muhyiddin bulan lepas.
Kehilangan sokongan itu mengakibatkan Muhyiddin kehilangan majoriti seterusnya tiada pilihan selain meletak jawatan dan memberi laluan kepada Ismail menggantikannya.
Azalina berkata, Umno mesti sedar bahawa kesilapan sesebuah parti dalam kerajaan juga akan memberi gambaran buruk terhadap Umno.
“Malangnya, Umno bukan kerajaan, Umno hanya sebahagian daripada kerajaan. Apa yang dilakukan kerajaan, Umno akan mendapat tempias sama ada perkara baik atau buruk,” katanya.
Tambahnya, Umno perlu berhati-hati bagaimana ia melakar haluan baharu untuk negara ini, terutamanya apabila mengambil kira keperluan menjaga hati parti komponen.
“Kini kita memang pemandunya, tetapi bukan sepenuhnya. Kita bukan pemandu tunggal, ada pemandu lain juga.
“Jadi ke mana hala tuju kita? Ini sesuatu yang mesti diberi perhatian oleh parti kerana ia mampu menjejaskan kesetiaan pengundi,” katanya.