Siasat RM3 bilion dibelanjakan untuk 1BestariNet, kata pemimpin BN

 

Sejumlah RM3 bilion dibelanjakan untuk projek 1BestariNet bagi menyediakan sambungan internet dan platform pembelajaran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Barisan Nasional menggesa siasatan dijalankan terhadap projek 1BestariNet yang sebelum ini diwujudkan bagi menyediakan platform pembelajaran dalam talian yang menelan belanja RM3 bilion.

Susulan pendedahan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor Isham Jalil menggesa jawatankuasa khas atau suruhanjaya siasatan diraja dibentuk untuk menyiasat perkara itu.

Projek mega itu dimulakan pada 2011 ketika bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin memegang portfolio pendidikan. Ia menelan belanja RM3 bilion sepanjang tempoh kontrak beberapa fasa dengan YTL Communications Sdn Bhd.

Maszlee berkata, projek itu yang direka bagi memastikan saling hubungan serta platform pembelajaran dalam talian untuk guru, pelajar serta ibu bapa, kerap dikritik kerana perkhidmatan internet yang lembab.

“Kes ini masih tiada pengakhiran,” kata Isham kepada FMT.

“Kerajaan perlu menyiasat ke mana perginya RM3 bilion itu. Ia jumlah besar untuk hanya satu syarikat.”

Katanya, turut perlu diteliti adalah dakwaan Maszlee bahawa beliau didesak meletak jawatan kerana enggan melanjutkan kontrak YTL itu.

“Beliau membayangkan tindakannya tidak melanjutkan kontrak ada kaitan dengan peletakan jawatannya.

“Jika apa dikatakan Maszlee itu benar, ia membayangkan ada campur tangan daripada seseorang di luar kerajaan yang mendesak penyingkirannya. Ada sesuatu yang tidak kena di sini,” katanya.

Pendedahan Maszlee itu dibuat dalam bukunya, ‘Memori Bukan Memoir’. Antara lain, beliau mendakwa keputusan untuk tidak melanjutkan YTL adalah profesional susulan ia tidak mencapai objektif dan indeks prestasi utama.

Kontrak YTL itu dikatakan antara sebab Mahathir memintanya meletak jawatan, malah beliau mendakwa telah diberitahu “Presiden Bersatu amat marah dengan anda kerana isu ini…”

No comments: