KAU TAK LEH PAKAI LA TAJUDDIN..LOYAR BURUK...

 


Umno tak beritahu saya bukan lagi Pengarah Pilihan Raya, kata Tajuddin




Tajuddin Abdul Rahman (kanan) ketika menerima surat pelantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno daripada Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, November lalu.

PETALING JAYA: Tajuddin Abdul Rahman, yang digugurkan daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya Umno hari ini berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu sebaliknya hanya menyedarinya selepas diberitahu menantunya.

“Menantu lelaki memaklumkan saya selepas membaca mengenainya di dalam talian,” katanya kepada FMT, sambil menambah beliau tidak tahu sebab digugurkan daripada jawatan itu.

“Saya harap bukan disebabkan rakaman audio yang bocor memaparkan saya menyuarakan pandangan kepada Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.”

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau sekadar menyuarakan pendapat, dan menganggap itu sesuatu yang ‘selamat’ dilakukan dalam pertemuan tertutup.

“Tidakkah orang boleh mempunyai pendapat berbeza? Bukan sekadar berkata ‘ya, ya, ya.’ Saya memberikan pandangan dan terpulanglah kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya.

Tajuddin menganggap sayang jika itulah punca di sebalik penyingkirannya berkenaan, kerana membayangkan seolah-olah “perbezaan pendapat tidak dapat diterima” kepemimpinan parti.

Dalam rakaman 15 minit itu, Tajuddin didengar berkata bukan masa yang sesuai untuk Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut didengar berkata, parti telah bersetuju menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan bukannya Muhyiddin saja, manakala Umno memerlukan setahun lagi untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Terdahulu hari ini, Umno mengumumkan Timbalan Presiden Mohamad Hasan yang lebih mesra digelar Tok Mat akan mengambil alih sebagai Pengarah Pilihan Raya.

Sementara itu, Tajuddin memberitahu FMT, beliau lega tidak lagi memegang jawatan itu.

“Bagus. Ia meringankan beban saya,” katanya sambil mendoakan yang terbaik untuk Mohamad.

Tajuddin berkata, menggalas tanggungjawab Pengarah Pilihan Raya Umno bukan mudah memandangkan perlu menggunakan wang sendiri untuk menganjurkan mesyuarat, selain membantu aktiviti serta pertemuan di peringkat bahagian seperti menyerahkan bakul makanan.

“Selama ini saya bekerja begitu keras. Saya menyokong parti menggunakan wang sendiri. Tiada wang dari parti,” katanya dengan menambah beliau juga menganjurkan mesyuarat berkaitan dengan Muafakat Nasional, iaitu gandingan melibatkan Umno dan PAS.

No comments: