MENTERI MENTERI UMNO SOKONG MAHIADIN ADALAH PENGKHIANAT PADA KEPUTUSAN MT

 

Pada 7 Julai lalu, mesyuarat MT UMNO membuat ketetapan menarik sokongan secara serta-merta terhadap Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin.

Menurut apa yang dijelaskan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung, Ahmad Maslan, keputusan tersebut dipersetujui oleh 50 daripada 56 ahli MT.

Begitu pun, daripada 50 yang setuju dengan penarikan sokongan itu, hanya 30 menyokong tanpa syarat, manakala 15 lagi menyokong secara bersyarat.

Dengan sokongan 50 daripada 56 ahli MT itu, bermakna ketetapan menarik sokongan terhadap Mahiaddin adalah keputusan yang kuat dan hampir mutlak daripada UMNO.

Sebab itu, bersama keputusan itu, Zahid Hamidi dalam kenyataan medianya kemudian turut menggesa Mahiaddin agar meletakkan jawatan bersandarkan 7 fakta kegagalan yang disenaraikan iaitu:-

1. Gagal menangani pandemik Covid-19.

2. Menyalahgunakan Ordinan Darurat.

3. Gagal mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen.

4. Gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat.

5. Gagal memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat.

6. Gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi.

7. Memperkotak-katik titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

Meskipun Mahiaddin tidak juga meletakkan jawatan berikutan ketetapan UMNO itu, walau daripada segi prinsip dan moralnya Perdana Menteri memang pun sudah hilang majoriti, tetapi rata-ratanya rakyat gembira dengan apa yang diputuskan.

Ia sekurang-kurangnya menunjukkan UMNO enggan terus bersekongkol dengan kegagalan Mahiaddin, sambil memberi bayangan mungkin ada sesuatu bakal berlaku dalam Sidang Parlimen selama lima hari bermula 26 Julai depan di sebalik tiadanya ketetapan MT perlunya Ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan daripada kerajaan.

Realitinya UMNO tidak boleh terus berlama-lama duduk dalam kerajaan PN di ketika sudah membuat ketetapan menarik sokongan terhadap Mahiaddin.

Di suatu masa yang munasabah, UMNO tiada pilihan selain mesti bertindak menjatuhkan Mahiaddin, sesuai dengan ketetapan menarik sokongan yang telah dibuat itu.

Kiranya UMNO terus berada dalam kerajaan sehingga pembubaran Parlimen, ia akan menyebabkannya turut terpalit dengan kegagalan PN dan Mahiaddin, seterusnya sukar untuk meyakinkan pengundi untuk memilih mereka dalam PRU15 akan datang.

Lagi pula, oleh kerana UMNO akan bertanding sebagai pembangkang untuk melawan Bersatu dan PN dalam PRU15 itu nanti, menarik diri daripada kerajaan pada saat-saat akhir hanya menyulitkan lagi keadaan.

Untuk itu, langkah yang terbaik ialah UMNO mesti bertindak menjatuhkan Mahiaddin lebih awal berasaskan tujuh kegagalan yang disenaraikan itu bagi tujuan memperlihatkan kepada pengundi bahawa UMNO adalah parti yang benar-benar pro dan ingin membela nasib rakyat.

Bagaimanapun, hanya seminggu selepas ketetapan menarik sokongan itu, menteri-menteri UMNO yang berada dalam kabinet telah menunjukkan perlakuan yang memalukan serta menghina keputusan MT sendiri.

Menteri-menteri UMNO yang sebahagiannya merupakan ahli MT dalam membuat keputusan menarik sokongan terhadap Mahiaddin, hari ini telah membuat ketetapan bersama seluruh anggota kabinet untuk terus menyokong kepimpinan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.

Pada 7 Julai, mereka menyokong menarik sokongan terhadap Mahiaddin, tetapi pada 14 Julai, membuat pula ketetapan menyokong penuh Mahiaddin?

Kegilaan apa semua ini, apa pendirian menteri-menteri daripada UMNO ini sebenarnya – menyokong keputusan parti yang memberi mereka peluang dipilih sebagai Ahli Parlimen atau ingin mempertahankan kepentingan peribadi sebagai menteri yang dipilih Mahiaddin?

Kalau dalam MT, ada yang memberi sokongan secara bersyarat, berkecuali dan tidak setuju dengan keputusan menarik sokongan terhadap Mahiaddin, kenapa menteri-menteri UMNO tidak berani berbuat demikian dalam kabinet?

Takut hilang jawatan menteri?

Tidakkah menteri-menteri UMNO sedar bahawa PH, Pejuang dan Warisan sudah mengumumkan penolakan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan pengkhianat PN sekiranya berlaku kelompongan sokongan yang dialami Mahiaddin?

Ia bermakna, jika pun menteri-menteri UMNO mengambil pendirian tidak menyokong atau berkecuali daripada menyokong Mahiaddin lantaran akur dengan keputusan parti yang sudah menetapkan penarikan sokongan, kedudukan mereka sebagai menteri tidak semudah itu untuk digugurkan kerana Mahiaddin tidak lagi mempunyai keupayaan untuk menarik Ahli Parlimen blok pembangkang untuk menggantikannya.

Malah jika kedudukan mereka sebagai menteri digugurkan, ia boleh pula disusuli dengan UMNO membuat keputusan rasmi keluar daripada kerajaan dengan serta-merta.

Ia akhirnya lebih mungkin membuatkan Mahiaddin dijatuhkan dengan lebih cepat yang bermakna telah dapat memenuhi kehendak yang diinginkan oleh UMNO sendiri.

Malangnya, disebabkan menteri-menteri UMNO yang perlakuan mereka, bak kata orang Melaka – jenis hawau punya pemimpin – hanya tahu memikir tentang jawatan dalam kerajaan sambil ingin membolot segala kemewahan yang datang bersamanya, bukan membela rakyat yang sedang sengsara dengan kegagalan PN, Mahiaddin terus diberi keselesaan kekal sebagai Perdana Menteri.

Menteri-menteri UMNO itu bukan saja menghina keputusan parti, menghina ahli akar umbi yang sebulatnya menolak Mahiaddin, Bersatu dan PN, malah menghina moral mereka sendiri sebagai pemimpin yang selalu berbuih mulut dengan ucapan berjuang untuk rakyat.

Memberi sokongan kepada Mahiaddin sebelum MT membuat keputusan menarik sokongan mungkin boleh diterima, tetapi memang haprak nilainya jika terus memberi setelah UMNO ada keputusan untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Demi untuk mempertahankan keselesan hidup sebagai menteri, pemimpin UMNO sebetulnya tak kisah pun mengambil makanan di atas tapak tangan musuh untuk disuap ke mulut mereka.

Pemimpin dengan moral sebegini, sedarlah wahai rakyat dan ahli UMNO akar umbi sekalian, berapa sen sebenarnya nilai untuk membela rakyat ada dalam hati mereka? 

(ShahbudinHusin 14/07/2021)



No comments: