BANYAK LAGI PEMBERSIHAN HARUS ZAHID HAMIDI LAKUKAN, ANNUAR MUSA YANG TERAWAL KONGSI AUDIO RAKAMAN SEMESTINYA DISIASAT

 

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi hari ini memecat Ahli Parlimen Pasar Salak, Tajuddin Abdul Rahman daripada jawatannya sebagai Pengarah Pilihanraya UMNO.

Jawatan tersebut kini dipegang oleh Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengerusi War Room UMNO serta BN.

Walaupun ramai yang melihat pemecatan Tajuddin itu berikutan kritikannya terhadap pucuk pimpinan UMNO setelah tersebarnya audio rakamannya dalam mesyuarat MT pada 7 Julai lalu, hakikat yang perlu disedari, tindakan diambil terhadap bekas Pengerusi Prasarana yang dipecat sebelumnya oleh Menteri Kewangan itu adalah kerana faktor kesetiaan.

Lantaran kecondongannya yang begitu ketara kebelakangan ini kepada Mahiaddin Md Yasin, tidak munasabah lagi jawatan Pengarah Pilihanraya UMNO disandang olehnya.

Jawatan Pengarah Pilihanraya UMNO semestinya dipegang oleh pemimpin yang setia kepada parti dan pucuk pimpinan, bukan setia untuk memastikan Mahiaddin terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Maka, tindakan Zahid Hamidi memecatnya bukan saja tepat, malah suatu tindakan terpuji untuk membersihkan parti.

Sebelum ini, Zahid Hamidi juga telah memecat Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN dan Shahidan Kassim daripada jawatan Pengerusi UMNO Perlis.

Pemecatan kedua-dua mereka juga ada kaitan dengan faktor kesetiaan serta sebahagian usaha membersihkan partiZ

Untuk memastikan UMNO kembali dominan, lebih-lebih lagi setelah memutuskan menarik sokongan terhadap Mahiaddin, membersihkan parti daripada unsur-unsur ketidaksetiaan adalah sangat penting.

Ketidaksetiaan tidak boleh dibiarkan wujud dalam UMNO, bahkan dalam mana-mana parti kerana ia akan menghalang usaha untuk mencapai kejayaan.

Dalam hal ini, Zahid Hamidi tidak harus berhenti daripada terus melakukan pembersihan kerana kalau dilihat perkembangan terkini di mana audio rakaman mesyuarat MT pun boleh dibocorkan, banyak lagi tindakan harus dilakukannya.

Selepas Tajuddin, jika ada lagi yang perlu dipecat atau diambil tindakan, jangan takut melakukannya.

Elemen tiada kesetiaan, curang terhadap perjuangan dan lebih condong kepada lawan di kalangan ahli MT sendiri harus dibendung sehabis-habisnya.

Audio rakaman mesyuarat MT yang baru-baru ini dibocorkan dan seterusnya didedahkan di media sosial, sudah pasti ia dilakukan oleh kalangan ahli MT sendiri.

Kalau bukan ahli MT UMNO sendiri yang merakamnya, siapa lagi?

Tambahan lagi, dengan mesyuarat dilakukan melalui aplikasi zoom, bukan saja mana-mana ahli MT bebas melakukan rakaman, malah kalau mahu, sesiapa saja boleh juga mengajak orang lain berada di sebelahnya untuk turut sama meneliti perjalanan mesyuarat.

Dan melihat bagaimana ia dibocor dan didedahkan satu demi satu di media sosial, tidak mustahil sebenarnya rakaman penuh mesyuarat MT itu turut dihantar satu salinan kepada pengetahuan Mahiaddin.

Lebih buruk daripada segala itu, Annuar Musa, bekas Setiausaha Agung UMNO, bekas Ketua Penerangan UMNO dan bekas ahli MT UMNO adalah antara yang paling awal meviralkan audio rakaman tersebut di media sosial.

Apakah dalam hal ini, dengan segala jawatan penting yang pernah dipegangnya, beliau tidak tahu bahawa adalah salah dari segi disiplin dan etika mendedahkan butiran mesyuarat MT kepada umum?

Meski beliau mendakwa memperolehinya daripada ‘bilik sebelah’ dan melalui kiriman orang lain kepadanya, perkara itu harus disiasat dengan teliti dan hingga ke akar umbi.

Zahid Hamidi harus mengarahkan siasatan lanjut dilakukan terhadap Annuar tentang bagaimana beliau yang bukan ahli MT UMNO boleh menjadi antara yang paling awal memperolehi audio rakaman itu, seterusnya mendedahkannya dalam media sosial.

Apakah mendedahkan dalam media sosial bukan suatu kesalahan yang boleh diambil tindakan?

Kepada Zahid Hamidi, jangan berhenti setakat memecat beberapa pemimpin, dengan terbaru Tajuddin, dalam usaha untuk membersihkan parti.

Selepas UMNO memutuskan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan tentunya banyak lagi asakan harus dilakukan untuk memastikan Mahiaddin dapat diundurkan, bermakna lebih banyak lagi pembersihan harus dilakukannya kerana mereka yang ingin mempertahankan jawatan dan kedudukan peribadi, bukan memikir kelangsungan masa depan parti, tidak akan berhenti dengan cara-cara kotornya. 

(ShahbudinHusin 13/07/2021)