Sampai bila nak kurung rakyat, ubah strategi tangani Covid
Strategi mengurung rakyat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menetapkan angka jangkitan harian Covid 19 di bawah 4,000 kes sebelum ekonomi dibuka akan menatijahkan malapetaka yang lebih buruk kepada ekonomi.
Oleh itu, Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan (PH) mengesyorkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengubah fokus menangani Covid dengan pendekatan bersasar melalui kaedah pengenalpastian pantas, pengasingan dan pengekangan jangkitan, berbanding melaksanakan kaedah sekatan pergerakan kepada orang ramai.
Menurut jawatankuasa itu, perubahan strategi akan merintis langkah awal kepada pembukaan semula kegiatan ekonomi secara berperingkat yang akan memulihkan pasaran pekerjaan dan meredakan kebimbangan para pelabur.
Dalam kenyataan media mereka, Jawatankuasa Ekonomi PH menekankan perlunya membuka ekonomi ketika bantuan kerajaan pusat kepada rakyat semakin menipis.
“Siri lawatan kerja ke pelbagai negara asing oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali akan menjadi sia-sia jika beliau dan seluruh Kabinet PN gagal menangani permasalahan pokok yang berisiko menarik keluar pelabur sedia ada.
“Kewujudan kluster-kluster tempat kerja sepanjang tempoh PKP membuktikan bahawa kita tidak lagi boleh menggunakan takrifan kabur mengenai tahap keperluan sesuatu sektor ekonomi sebagai kayu ukur untuk diberikan kebenaran terus beroperasi.
“Sebaliknya kebenaran beroperasi haruslah diberikan berdasarkan penilaian saintifik ke atas risiko penyebaran jangkitan dalam sektor ekonomi tersebut,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.
Menurut jawatankuasa itu lagi, usaha-usaha mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja seperti meningkatkan kualiti pengudaraan di ruang tertutup hendaklah dilaksanakan oleh kerajaan
Selain itu, jawatankuasa juga menekankan kegiatan operasi di luar premis dan di ruangan terbuka akan dikategorikan sebagai berisiko rendah dan dapat diteruskan dengan mematuhi arahan penjarakan fizikal.
“Kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam bentuk geran, pembiayaan mudah dan insentif cukai untuk mewujudkan ruang kerja, kilang dan kuarters pekerja yang kalis pandemik.
“Juga mewajibkan ujian saringan bersubsidi di tempat kerja secara berkala sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung penularan wabak,” kata mereka lagi.
Jawatankuasa itu turut mahukan peruntukan tambahan untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam demi menangani wabak Covid-19 dan varian-varian baru virus tersebut.