Jangan nak lepas diri, semua menteri Umno juga perlu letak jawatan! – Asmuni

 Jangan nak lepas diri, semua menteri Umno juga perlu letak jawatan! – Asmuni


ADUN Manjoi, Dato’ Haji Asmuni Awi meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet beliau meletakkan jawatan.

Menurut bekas EXCO Kanan Kerajaan Negeri Perak itu, Muhyiddin dan seluruh anggota Kabinet bertanggungjawab terhadap tindakan memalukan itu.

“Kenyataan yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong semalam menunjukkan bahawa Muhyiddin secara sengaja menipu Parlimen berkenaan pembatalan Ordinan Darurat” katanya dalam satu program bual bicara YB, Tolong Jelaskan “Kekeliruan pembatalan Ordinan Darurat” semalam.

“Muhyiddin perlu tahu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan ordinan tersebut”.

Takiyuddin pada Isnin mengumumkan Ordinan Darurat telah terbatal pada 21 Julai 2021. Pengumuman berkenaan telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia.

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita susulan kenyataan yang dibuat Takiyuddin itu.

Asmuni berkata walaupun ada desakan-desakan sesetengah pihak untuk Muhyiddin dan Takiyuddin meletak jawatan, namun perkara itu tidak cukup kerana ianya telah pun dibincangkan di dalam Kabinet dan Kabinet tahu apa yang berlaku.

Untuk itu seluruh kabinet perlu meletakkan jawatan secara en bloc sesuai dengan tanggungjawab kolektif.

Tidak betul jika ada pemimpin Umno yang hanya mendesak Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang sahaja yang meletakkan jawatan kerana perkara ini diputuskan secara bersama dalam mesyuarat kabinet, maka seluruh Kabinet termasuk menteri-menteri dari Umno perlu meletakkan jawatan.

Asmuni turut menempelak pihak tertentu yang memberikan hujah bahawa peletakkan jawatan oleh Muhyiddin boleh digantikan secara automatik dengan Ismail sabri yang kini menjawat jawatan TPM.

Beliau mengingatkan bahawa seluruh menteri-menteri dilantik oleh Muhyiddin dan sekiranya PM meletakkan jawatan maka secara automatik menteri-menteri Kabinet yang lain juga akan gugur jawatan mereka.

No comments: