Doktor kontrak mahu tubuh kesatuan sekerja, beri amaran Hartal 2.0

 

Doktor kontrak yang menyertai mogok baru-baru ini.

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam perancangan menubuhkan kesatuan sekerja untuk doktor junior demi komunikasi lebih baik dan memperjuangkan pembaharuan.

Jurucakap gerakan itu, Dr Mustapha Kamal berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), badan induk untuk kesatuan sekerja perkhidmatan awam.

Mereka berharap kesatuan itu boleh ditubuhkan sebelum pembentangan Belanjawan 2022 atau akhir tahun ini, jika gagal memenuhi tarikh akhir pertama.

Katanya, kesatuan itu mampu meningkatkan suara pegawai perubatan junior secara profesional seperti Persatuan Perubatan British (BMA) di United Kingdom.

Mustapha berkata, lanjutan dua tahun untuk doktor kontrak yang dicadangkan kerajaan bukan penyelesaian sesuai dan tidak mempunyai rancangan jelas dengan banyak persoalan masih tidak dijawab, termasuk apakah yang akan berlaku selepas lanjutan itu tamat dan sama ada perubahan akan dilakukan ke atas laluan kepakaran.

Beliau memberi amaran “tindakan lanjut” akan menyusul jika tuntutan mereka tidak dipenuhi segera.

“Kami berharap sebelum Belanjawan 2022, kerajaan akan tampil dengan satu penyelesaian dan beritahu kami apa yang diperlukan untuk kerajaan menyerap kami semua ke jawatan tetap.

“Tiada dokumen rasmi menyatakan garis panduan untuk jawatan tetap, hanya kenyataan kepada media. Kami mahu melihatnya secara bertulis, dalam hitam putih, dicop dan ditandatangani.

“Kami akan benarkan mereka berbincang dan tampil dengan rancangan. (Menteri Kesihatan) Dr Adam Baba kata beliau memerlukan dua tahun, tetapi saya rasa itu agak lama berdasarkan ketidakstabilan politik di negara kita.

“Kerajaan boleh diberikan sedikit masa, tetapi jika mereka tidak memberikan respons sebelum Belanjawan berikutya, kemungkinan besar kami akan teruskan dengan Hartal 2.0.”

Bagaimanapun, beliau tidak menyebutnya sebagai mogok dan berkata, situasi Covid-19 serta landskap politik perlu dipertimbangkan sebelum boleh membuat rancangan khusus.

No comments: