UNTUK APA ISMAIL SABRI CUBA PERTAHAN LAGI MAHIADDIN, BERANIKAH BELIAU SENDIRI BAWA USUL PERCAYA DI PARLIMEN ISNIN DEPAN?


Di sebalik rasa amat dukacita yang dizahirkan oleh Yang Dipertuan Agong terhadap kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yassin yang bermakna baginda telah murka, Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan merupakan orang Pahang sendiri, dilihat mengambil sikap yang berbeza dengan Agong yang juga adalah Sultan negeri kelahirannya.

Meskipun dalam kenyataan medianya, beliau menjunjung kasih terhadap titah Agong, tetapi tindakannya mempertahankan kerajaan PN dengan hujah masih mempunyai sokongan 110 Ahli Parlimen sebenarnya amatlah tidak wajar.

Ismail Sabri selaku Ketua Whip PN seolah-olah ingin memberitahu Agong bahawa kerajaan PN dan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri masih kukuh dan tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapa, waima dengan adanya kemurkaan sekali pun.

Oleh yang demikian, meskipun berlaku kemelut sekarang, PN ini di mata Ismail Sabri, harus terus dikekalkan sebagai kerajaan.

Apa yang Ismail Sabri harus faham sekarang ini yang menjadi isu ialah soal kemurkaan dan derhaka sebuah kerajaan kepada Raja, selain sokongan majoriti yang dipertikaikan sejak dulu.

Tindakan membelakangkan Agong dalam soal pembatalan darurat, meskipun dilakukan oleh Takiyuddin Hassan, tetapi beban tanggungjawab mesti dipikul oleh Mahiaddin selaku Perdana Menteri.

Lagi pula, perkara itu diumumkan oleh Takiyuddin di dalam Parlimen yang mana Mahiaddin sendiri ada di sana ketika itu.

Apabila beliau tidak membantah atau cuba membetulkan kenyataan Takiyuddin itu, ia bermakna beliau bersetuju dengannya.

Dalam hal ini, Ismail Sabri harus membuat pilihan sama ada A atau B dan tidak boleh secara serentak menjunjung titah Agong dan mempertahankan lagi kerajaan PN.

Tiada ruang untuk beliau cuba bermain dua kolam dengan menjunjung titah Agong dan di waktu yang sama tetap mahu Mahiaddin dikekalkan lagi.

Kalau menjunjung titah Agong bermakna beliau harus bersetuju kerajaan PN serta Mahiaddin telah derhaka dan jika mahu terus mempertahankan kerajaan PN dengan hujah masih disokong 110 Ahli Parlimen, bererti beliau telah memilih untuk turut derhaka kepada Agong.

Lagi pula, tidakkah Ismail Sabri sedar Ahmad Zahid Hamidi telah lebih dulu mengeluarkan kenyataan media agar sokongan terhadap Mahiaddin segera ditarik balik?

Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO juga menggesa Mahiaddin meletakkan jawatan berikutan kemurkaan Agong itu.

Lalu, sebagai Naib Presiden UMNO, walau pun kini berkedudukan Timbalan Perdana Menteri, untuk apa sebenarnya Ismail Sabri cuba mempertahankan Mahiaddin lagi?

Apakah beliau sebagai pemimpin kanan UMNO sudah lupa antara teras perjuangan parti itu ialah mendaulatkan kedudukan Raja-Raja?

Apakah kerana ingin mempertahankan jawatan dan takut hilang kedudukan nombor dua dalam kerajaan, maka sampai sanggup jadi derhaka sama?

Selain itu, hujah Ismail Sabri bahawa PN pimpinan Mahiaddin masih utuh sebagai kerajaan dengan sokongan melebihi 110 Ahli Parlimen juga tidak logik sama sekali.

Jumlah Ahli Parlimen keseluruhannya ialah 222 orang dan dua orang telah meninggal dunia, jadinya yang tinggal adalah 220.

Jika 110 daripada 220, ia bukanlah berkedudukan majoriti, tetapi seri dan tidak pernah ada kerajaan seri dipanggil sebagai kerajaan majoriti.

Kedudukan majoriti mudah daripada 220 ialah melebihi 111.

Soalnya, adakah PN sekarang mempunyai 111 sokongan Ahli Parlimen?

Jangan lupa juga, selain Tengku Razaleigh Hamzah yang telah memohon berpindah tempat duduk ke blok bebas, Ahli Parlimen Machang, Jerantut dan Cameron Highlands juga sudah mengumumkan penarikan sokongan mereka terhadap Mahiaddin sebelum ini.

Begitu juga dengan Najib Razak dan Zahid Hamidi yang hari-hari mengkritik dan membuat desakan agar Mahiaddin berundur, tidakkah mereka juga dikira tidak lagi menyokong Perdana Menteri?

Jadi, untuk apa lagi Ismail Sabri cuba terus mempertahankan Mahiaddin?

Atau beranikah beliau sendiri mengusulkan undi percaya di Parlimen pada Isnin depan? 


(ShahbudinHusin 29/07/2021)



No comments: