MAHIADDIN SUDAH HILANG MORAL KETUAI KERAJAAN

 

1. Khamis 29hb July 2021 tarikh memalukan demokrasi berparlimen disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sepatutnya Parlimen menjadi medan terbaik ketika isu pelanggaran perlembagaan dibangkitkan oleh Tuanku YDPA sebagai Ketua Negara dan Ketua kedua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

2. Istana melalui kenyataannya pada 29hb July 2021 menegaskan beberapa perkara dasar perlembagaan seputar kontraversi Ordinan Darurat yang didakwa telah dibatalkan oleh kabinet pada 21 July yang lalu.

Perkara tersebut disebut oleh Menteri Undang2 ketika diasak oleh pembangkang pada hari pertama persidangan 26hb July perihal Ordinan Darurat yang perlu dibahaskan seperti titah Tuanku.

3. Asas pelanggaran yang dilakukan oleh PM Mahiaddin adalah terhadap kuasa YDPA yang telah dinafikan oleh Kabinet dalam hal berkaitan membuat Ordinan-ordinan Darurat (undang dibuat luar parlimen) termaktub dalam perkara 150 (2B) dan 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Kuasa YDPA jelas disebut dalam perkara 150 dalam hal Proklamasi Darurat dan penggubalan Ordinan-ordinan di bawah kuasa Tuanku YDPA dalam subseksyen2 150.

4. Tuanku juga perkenan bertitah pada 24hb July dalam pertemuan secara maya dengan Menteri Undang2 dan Peguam Negara supaya Ordinan-ordinan yang digubal dan diperkenankan oleh Tuanku dibentangkan dan dibahas di Parlimen untuk pembatalan.

Jelas titah Tuanku tidak diendahkan kerana pembatalan Ordinan sejak awal lagi tidak termasuk dalam agenda pembentangan.

5. Asas inilah yang kami ahli parlimen PH, Warisan, Pejuang dan Muda bangkitkan kenapa persidangan kali ini tidak dibawa usul perbahasan Ordinan-ordinan yang hendak dibatalkan memandangkan tarikh tamat Darurat adalah pada 1 Ogos.

Semua Penerangan Menteri tidak bermakna tanpa diselesaikan dahulu soal Ordinan Darurat di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Terbukti desakan kami diperakui melalui kenyataan Istana bahawa itu adalah hasrat Tuanku yang dizahirkan kepada Menteri Undang2 dan Peguam Negara terlebih awal.

6. Dewan Parlimen yang mulia telah dicemari dengan sikap Speaker Dewan yang acuh tak acuh kepada isu pokok ini dan ketika kenyataan Istana dikeluarkan, kami Ahli Parlimen Pembangkang dari semua blok telah meyakini bahawa PM Mahiaddin telah dengan sedar melanggar kuasa Tuanku dan tidak mengendahkan titah Baginda supaya hal Ordinan Darurat dibahaskan oleh Ahli Dewan.

7. Lebih memalukan ialah apabila Dewan terpaksa ditangguhkan oleh Speaker sebanyak 3 kali dengan dalih-dalih yang melucukan.

Salah satu penangguhan pada pukul 3.30 ptg dialaskan atas sebab semua MP perlu membuat pemeriksaan covid (swab test) sedangkan semua MP telahpun membuat pemeriksaan pada Jumaat 23hb July lalu.

Tiba-tiba sahaja Speaker memaklumkan ada kes positive tiga hari yang lalu!

8. Membuat alasan covid untuk melengah-lengahkan soal pelanggaran kuasa YDPA dan sekaligus melanggar Perlembagaan Persekutuan adalah tidak bertanggungjawab dan memalukan institusi Demokrasi Parlimen.

Usul Ketua Pembangkang pada sesi petang 29hb July yang memohon Dewan membuat ketetapan supaya PM Mahiaddin dimakzulkan atau dibuat usul dipecat telahpun diterima di pejabat Speaker.

9. Saya yakin sesi hari terakhir persidangan Isnin 2hb Ogos akan ditangguh keseluruhannya atas alasan Covid juga.

Dari sudut moralnya PM Mahiaddin sudahpun hilang kepercayaan dewan apabila gagal mematuhi lunas-lunas perlembagaan apatah lagi melanggar kuasa YDPA dalam Perkara 150(2B) dan 150(3).

Apabila seorang Perdana Menteri gagal mempertahankan Perlembagaan dan gagal menghormati kuasa YDPA, kerajaannya sudah hilang moral untuk mentadbir negara.

Jalan terbaik kepada PM Mahiaddin dan seluruh anggota kabinetnya ialah letak jawatan jikalau tidak mahu dimakzulkan setelah hilang kredebiliti untuk memerintah.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Parit Buntar

30hb July 2021.


No comments: