Jangan angkuh, minta ampun daripada Agong, Mat Sabu beritahu PM

 

Mohamad Sabu berkata, Kabinet gagal menghormati saranan Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin untuk Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan.

PETALING JAYA: Amanah kesal dengan tindakan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Kabinet atas maklum balasnya terhadap teguran Yang di-Pertuan Agong yang disifatkan parti itu sebagai “angkuh”.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menuntut Muhyiddin meminta pengampunan daripada Agong dan segera meletak jawatan.

Beliau mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam berhubung pembatalan Ordinan Darurat selepas Agong mendedahkan tidak memberi memperkenan pembatalan itu.

Isnin lalu, Takiyuddin mengejutkan Dewan Rakyat dengan mengumumkan bahawa Ordinan Darurat dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu. Ia menimbulkan persoalan sama ada Agong sudah memberi perkenan terhadap pembatalan itu.

Semalam, PMO berkata, tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, cara pembatalan Ordinan Darurat masih dipersoalkan.

“Kenyataan Muhyiddin seolah-olah membayangkan Agong tidak memahami keadaan sebenar.”

Katanya, Kabinet juga gagal menghormati saranan Agong supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin untuk Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan.

Beliau turut mengkritik kerajaan susulan penangguhan berulang kali sidang Dewan Rakyat pada petang semalam.

Semua ini katanya, adalah tindakan menentang Istana dan Amanah mahu Muhyiddin dipertanggungjawabkan.

“Amanah menuntut Muhyiddin dan seluruh anggota Kabinetnya meletak jawatan serta-merta dan memohon sembah ampun daripada baginda.”