KEDEGILAN MAHIADDIN BERUNDUR PERLU DIAJAR DENGAN DEMONSTRASI BESAR2AN DI SELURUH NEGARA

 

Isu sebenar yang ada di depan mata kita sekarang ialah tindakan derhaka yang nyata sebuah kerajaan kepada Yang Dipertuan Agong dan Istana Negara.

Penderhakaan itu pula bukan dilakukan sekali, bahkan sudah berkali-kali.

Jika kerajaan yang ada sokongan majoriti sekali pun, tetapi kalau sudah derhaka kepada Raja, kerajaan tersebut dan ketua kerajaannya wajar dijatuh dan digantikan.

Dalam sebuah negara Raja Berperlembagaan, kerajaan yang setia kepada Raja jauh lebih penting dipertahankan daripada kerajaan yang ada sokongan majoriti semata-mata, namun tidak peduli soal kesetiaan kepada Raja.

Tentulah juga jauh lebih afdal sebuah kerajaan itu ditentang dan dijatuhkan jika selain keabsahannya diragui atau lebih tepat tiada sokongan majoriti dimiliki, ditambah lagi dengan bersikap derhaka yang berulang kali dilakukannya.

Dalam kata mudah, itulah gambaran kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin sekarang ini.

Setelah bertahun berdolak-dalik dan mencari pelbagai helah untuk kedudukan sokongan yang dimilikinya diuji, perkara itu kini melarat kepada soal penderhakaan sehingga Agong secara terbuka menzahirkan rasa anat dukacita yang sebenarnya itulah tanda murka seorang Raja.

Tidak pernah keadaan seperti ini berlaku sebelum ini di mana kedudukan Agong seolah-olah dipermainkan dan ditipu demi kepentingan kuasa oleh kerajaan yang memerintah.

Oleh yang demikian, Mahiaddin dan kerajaan PN ini sebenarnya tidak boleh dan tidak harus dipertahankan lagi, walau atas apa alasan sekali pun.

Mahiaddin mesti berundur serta meletak jawatan dan jika enggan, beliau harus dipaksa berbuat demikian.

Tiada guna lagi negara mempunyai Perdana Menteri dan kerajaan yang derhaka ini kerana kemurkaan Agong bermakna baginda tidak mungkin dapat menerima mereka yang tidak setia itu untuk terus mengurus negara.

Melihat kepada perkembangan yang berlaku selepas murkanya Agong itu, Mahiaddin nampaknya kekal dengan kedegilan enggan meletakkan jawatannya.

Malah beliau cuba mempertahankan dan menjustifikasi tindakan berkaitan pembatalan darurat itu melalui kenyataan media tanpa nama oleh Pejabat Perdana Menteri atau PMO.

Menyanggah titah Raja dengan panjang lebar melalui surat tanpa nama adalah perbuatan biadap dalam berkomunikasi dengan Istana serta di luar tata susila kesopanan dan kesetiaan sebagai warganegara yang taat setia kepada Raja.

Kalau surat Istana Negara ada penamanya, mengapa surat PMO langsung tiada nama?

Siapa yang mengeluarkan kenyataan media itu – Perdana Menteri, Setiausaha Akhbar, Ketua Setiausaha Sulit atau hanya budak pejabat PMO?

Selain itu, kenyataan media PMO itu juga seperti Mahiaddin mahu mengajak Istana Negara terus bergaduh dan berperang dengan hakikat beliau masih cuba menegakkan benang basah bersabit isu yang timbul.

Dalam hal ini, apakah Mahiaddin lupa tentang ketinggian serta kemuliaan kedudukan Agong berbanding dirinya serta bagaimana titah baginda yang disampaikan melalui Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara agar Proklamasi Darurat dan ordinannya dibentang serta dibahas di Parlimen, telah terang-terang tidak dipatuhi?

Apakah itu bukan derhaka namanya dan sekarang bersama derhaka yang sedia ada, kerajaan PN juga nampaknya mahu terus bergaduh dan berperang secara berterusan dengan Istana?

Penyelesaian paling mudah bagi kemelut ini tidak lain ialah Mahiaddin dan seluruh kabinetnya, termasuk dua beradik yang menjadi Peguam Negara dan Speaker Parlimen, mesti meletak jawatan dengan segera.

Apabila derhaka sehingga Raja murka, pilihan yang ada hanya berundur dengan serta merta.

Penderhakaan mereka bukan saja menyinggung hati Agong sehingga baginda jadi murka, bahkan majoriti rakyat sendiri pun kini tambah benci dengan kerajaan PN ini.

Sudahlah tiada majoriti, ditambah lagi dengan derhaka dan akhirnya jadilah ia seburuk-buruk kerajaan di muka bumi ini.

Mendepani keadaan ini, Mahiaddin dan kerajaan PN tidak mungkin lagi dapat berperanan dengan baik dalam mengurus negara, jauh sekali untuk saling bekerjasama dengan Istana, lagi lama beliau bertahan hanya menyebabkan negara kian jahanam jadinya.

Berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada Raja, kiranya Mahiaddin dan kabinetnya terus berdegil dan enggan berundur dalam dua tiga hari mendatang, sebenarnya akan menjadi kewajipan agar seluruh rakyat bangun bersuara melalui demonstrasi besar-besaran menuntut perletakan jawatan semua yang derhaka itu.

Kita tidak harus membiarkan mereka yang derhaka ini terus bergayut lebih lama dengan kuasa tanpa keabsahan mereka.

Demi menyelamatkan negara dan sebagai tanda kesetiaan kepada Raja, inilah satu-satunya pilihan yang tinggal untuk mengajar Perdana Menteri dan kerajaan “tak reti bahasa” ini. 


(ShahbudinHusin 30/07/2021)




No comments: