BUKAN SAJA MAHIADDIN, SELURUH KABINET PUN RASA-RASANYA BAKAL KENA CIRIT-BIRIT JUGA SELEPAS INI….

 

Sejak subuh tadi telah heboh dengan perkhabaran melalui aplikasi Whatsapp tentang Mahiaddin Md Yasin yang dikatakan telah dimasukkan ke wad di sebuah hospital di ibukota.

Laporan itu menyebut Perdana Menteri diserang sakit secara tiba-tiba dan dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan mulai petang semalam.

Begitu pun, tidak disebut masalah kesihatan apa yang sedang dihadapi Mahiaddin itu.

Hanya menjelang tengahari tadi barulah kesahihan khabar angin itu diketahui kebenarannya dengan Pejabat Perdana Menteri sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keadaan kesihatan Mahiaddin.

Kenyataan itu menyebut Mahiaddin telah mengalami diarea atau cirit-cirit dan dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara pagi ini untuk menerima rawatan dan pemantauan.

Ehhh…Mahiaddin kena cirit-cirit?

Macam mana boleh kena?

Bagaimana keadaannya?

Salah makan atau kena keracunan makanan ke?

Buat seketika, pelbagai pertanyaan mengenai keadaan kesihatan beliau tergantung begitu saja, sambil ada juga yang mendoakannya agar cepat sembuh.

Tetapi, selepas tengahari tadi apabila Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara, Dr. Rais Yatim mengeluarkan kenyataan media secara bersama mengenai majlis menghadap mereka kepada Yang Dipertuan Agong semalam yang menyebut tentang titah baginda mahukan sidang Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos, barulah sedikit-sedikit boleh dijangka kenapa Mahiaddin tiba-tiba dilaporkan sakit perut dan terkena cirit-birit.

Menurut kedua-dua Speaker itu lagi, titah Agong itu juga sudah pun dimaklumkan kepada Mahiaddin dan mereka mencadangkan kepada Perdana Menteri agar satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Ohh…patutlah kena cirit-birit!!!

Serentak dengan itu, sarat di media sosial dengan pelbagai troll dan sindiran mengenai kemasukannya ke wad akibat cirit-birit itu.

Sewaktu sekolah dahulu, apabila kerja rumah tidak siap dan takut dimarahi cikgu, alasan paling popular untuk murid-murid tidak datang ke sekolah ialah kerana sakit perut atau kena cirit-birit.

Apakah Mahiaddin tiba-tiba kena cirit-cirit kerana titah Agong dan mahu mengelak untuk menghadap baginda dalam waktu yang segera bagi menetapkan tarikh Sidang Parlimen?

Ini kerana hari ini ialah hari Rabu di mana mesyuarat kabinet sepatutnya diadakan dan sebelum mesyuarat kabinet diadakan, Mahiaddin perlu menghadap Agong terlebih dahulu.

Disebabkan cirit-cirit dan menerima rawatan di hospital, difahamkan tiada mesyuarat kabinet pada hari ini dan tiada jugalah Mahiaddin perlu menghadap Agong pada pagi tadi.

Agaknyalah…kalau tak kena cirit-birit dan tak dimasukkan ke wad, ada kemungkinan dalam menghadap Agong pagi tadi, sambil berbual-bual itu baginda bertanya sekali lalu kepada Mahiaddin tentang bila tarikh yang sesuai untuk diadakan Sidang Parlimen.

Seumpama murid yang tak dapat menyiapkan kerja rumah, tentu berpeluh dingin jugalah nak menjawabnya.

Agak-agaknya begitulah!

Apa yang nyata, titah Agong kali ini yang secara spesifik mahukan Sidang Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos dengan sendirinya telah menjawab helah seorang menteri, Takiyuddin Hassan yang sebelum ini mengatakan tiada keperluan membuka Parlimen dengan segera kerana baginda tidak menetapkan apa-apa tarikh pun mengenainya, meskipun jelas disebut perkataan segera dan secepat mungkin.

Nah…bagaimana sekarang, apakah Takiyuddin mahu terus berdalih dan derhaka lagi untuk kesekian kalinya?

Selain itu, titah Agong yang disampaikan melalui Speaker Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat kali ini turut menunjukkan baginda tidak menerima sama sekali pandangan Peguam Negara yang menyatakan penetapan tarikh Sidang Parlimen mesti dibuat atas nasihat Perdana Menteri.

Mana Peguam Negara nak letak muka selepas ini?

Kalau masih ada rasa malu, sebaik-baiknya letaklah jawatan dengan segera.

Nampak-nampak gayanya, dengan titah Agong ini dan sidang Parlimen sudah tidak boleh dielakkan lagi daripada diadakan sebelum 1 Ogos, bukan saja Mahiaddin, seluruh kabinet pun rasanya bakal kena cirit-birit juga.

Cuma harapnya tiada yang sampai berdarah sudahlah!!!.


 (ShahbudinHusin 30/06/2021)



No comments: