Azmin kata bukan, Hamzah tak puas hati, salahkan kilang punca utama kluster Covid-19

 

Mengulas penguatkuasaan Op Patuh pada 25 hingga 30 Jun, Hamzah Zainudin berkata, 602 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis manakala 60 daripadanya diarahkan tutup atas pelbagai kesalahan kerana tidak mematuhi SOP. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus bercanggah pendapat mengenai peningkatan kes Covid-19 apabila Hamzah Zainudin terus menyalahkan sektor perkilangan sebagai punca utama kluster wabak itu.

“Bila kita bincang dan tengok data saintifik kebanyakannya bermula dari kluster hostel pekerja, perkilangan dan perniagaan.

“Saya tak puas hati sebab angka nak turun bawah 5,000 tak dapat-dapat, jadi siapa yang salah? Kita kena buat sesuatu,” kata menteri dalam negeri itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 di Putrajaya.

Keluhan itu bercanggah dengan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali yang menyebut bahawa hanya 9.3% kes berpunca daripada kluster sektor pembuatan berbanding angka keseluruhan kes Covid-19.

Dalam temu bual bersama Berita Harian semalam, menteri kanan itu menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk terus menyalahkan sektor pembuatan sebagai penyumbang utama kluster Covid-19 di negara ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, situasi ketika ini tidak adil bagi individu yang patuh pada SOP dan kekal duduk di rumah, namun sektor perkilangan dibenarkan beroperasi malah tidak mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita kesian pada mereka yang benar-benar patuh pada SOP, duduk di rumah tak keluar-keluar. Saya marah sangat pada majikan, ‘you’ tak keluar tapi suruh orang lain buat kerja dan buat kesalahan. Itulah dia,” katanya.

Mengulas mengenai penguatkuasaan Op Patuh pada 25 hingga 30 Jun, beliau berkata, sebanyak 602 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis manakala 60 daripadanya diarahkan tutup atas pelbagai kesalahan kerana tidak mematuhi SOP serta arahan PKP.

“Dalam tempoh 1 Jun hingga 28 Jun, 744 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Imigresen dalam 169 operasi di seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu Hamzah berkata, jawatankuasa berkenaan memutuskan untuk melaksanakan Op Patuh secara besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara bermula esok.

“Op Patuh besar-besaran ini akan membabitkan strategi lebih drastik melalui pemeriksaan lebih ketat serta pemantauan lebih menyeluruh dengan penggunaan aset strategik seperti helikopter, dron dan sekatan jalan raya bergerak milik agensi penguatkuasaan yang terlibat seperti polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) dan bomba,” katanya.

No comments: