Kerajaan PN hanya pentingkan sektor awam, lembab bela pekerja swasta?
Hari Pekerja sewajarnya menginsafkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) betapa besarnya sumbangan para pekerja di Malaysia yang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu berkuatkuasa, negara telah kerugian sebanyak RM63 bilion dalam tempoh hampir dua bulan.
Menurut Pembantu Jurucakap KEADILAN bagi Hal Ehwal Pekerjaan dan Hak-Hak Pekerja, Hassan Abdul Karim, jumlah kerugian sepanjang PKP itu sekiranya dibahagikan menghasilkan jumlah RM2.4 bilion kerugian sehari.
“Ertinya sumbangan tenaga pekerja menghasilkan kekayaan negara sangat penting. Tetapi apa yang pekerja terutama di sektor swasta dapat sebagai balasannya semasa Pandemik Covid-19 ini?
“Kerajaan tidak dapat menjamin pekerjaan mereka. Program Subsidi Upah hanya untuk beberapa bulan sahaja di peringkat pertama PKP. Jika dilanjutkan pun hanya untuk sektor terhad.
“Apa yang berlaku ke atas hampir 11 juta pekerja di sektor swasta sekarang? Mereka diancam hilang pekerjaan. Beratus ribu sebenarnya telah hilang pekerjaan, mengalami kurang pendapatan atau dipaksa mengambil cuti tanpa gaji,” kata Hassan dalam kenyataannya.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang itu, para pekerja di sektor swasta sepatutnya perlu diberi lebih perlindungan oleh kerajaan kerana mereka terjejas amat teruk dalam kemelesetan ekonomi akibat dari pandemik Covid 19.
Malangnya, para pekerja swasta itu katanya, sering tertindas dan tidak dipedulikan hak serta kebajikan mereka.
“Para pekerja di sektor swasta mengalami tekanan di tempat kerja terutama di dalam tempoh Pandemik Covid-19. Banyak industri yang menghalang para pekerja menubuhkan kesatuan sekerja.
“Sikap kerajaan pula tidak membantu untuk melahirkan undang-undang dan peraturan yang memihak kepada pekerja bagi menolong mereka berkesatuan demi memperjuangkan nasib dan kepentingan sebagai pekerja.
“Apabila berlaku Pandemik Covid-19 seperti sekarang ini, para pekerja yang tidak berkesatuan, termasuk golongan pekerja kontrak berada dalam keadaan yang paling teruk,” katanya.
Para pekerja swasta juga, menurut Hassan, menghadapi masa hadapan yang tidak menentu berikutan ketidakpastian bilakah pandemik Covid 19 akan berakhir.
Sementara rakan mereka di sektor awam menikmati bonus hari raya RM500, dan di sesetengah negeri sebanyak RM1,000.
Oleh itu, Hassan menyeru agar kerajaan PN menjadi lebih berinovasi dalam memastikan nasib 12 juta pekerja di Malaysia lebih terjamin.
Kepada yang masih belum mendapat pekerjaan, beliau menyarankan kerajaan melipatgandakan usaha mencari pelaburan asing untuk menambah peluang pekerjaan.
“Kerajaan perlulah ada strategi menghadapi pandemik ini dengan lebih berkesan supaya kaum pekerja tidak hilang pekerjaan, supaya ratusan ribu graduan universiti yang menganggur dapat pekerjaan dan peluang kerja baru dapat dihasilkan.
“Antara caranya ialah tingkatkan usaha tarik pelaburan asing (FDI) ke Malaysia dan mencari ikhtiar supaya pelabur-pelabur tidak tutup kilang mereka di negara ini dan lari keluar,” katanya lagi.
Beliau mengingatkan golongan yang paling ramai dikategori dalam B40 adalah kaum pekerja. Malah, katanya, golongan yang dahulu berada dalam kelas menengah rendah M40 pun kini telah jatuh ke tahap B40. Dan kebimbangan itu sepatutnya ditangani dengan lebih baik oleh kerajaan.