Pegawai awam tak boleh ‘cela’ kerajaan menerusi media, kata Takiyuddin ekoran ‘pendedahan’ KPN

 

Takiyuddin Hassan berkata, pegawai kerajaan boleh memberi pandangan atau mengkritik menggunakan saluran yang betul. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, pegawai kerajaan tidak harus mendedahkan masalah dalaman jabatan kepada media massa.

Beliau membuat penegasan itu dua hari selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menuduh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin campur tangan dalam urusan polis, termasuk menyekat pemindahan pegawai bermasalah dan menentukan pelantikan jawatan kanan.

Takiyuddin tidak merujuk secara langsung kepada pendedahan Hamid itu, namun berkata, pelantikan Menteri Dalam Negeri sebagai pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) adalah menurut perlembagaan dan tidak boleh dipertikaikan.

“Jadi, jangan pula ada mana-mana pihak yang mempersoalkan ini (kerana ia) adalah peruntukan perlembagaan.

“Sekiranya ada apa-apa isu atau masalah dalam pentadbiran sesuatu jabatan, saya yakin pegawai-pegawai kerajaan tidak boleh mendedahkan perkara ini di tempat yang tidak sepatutnya.

“Sebaiknya mereka boleh dedahkan dalam mesyuarat di peringkat kementerian, suruhanjaya. Adalah tidak wajar untuk seorang pegawai kerajaan kononnya mendedahkan perkara ini di media massa,” Takiyuddin dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Beliau berkata, dari segi pentadbiran, perbuatan sedemikian boleh dipanggil tindakan yang membelakangkan atau mencela pihak kerajaan.

“Bukan saya kata pegawai kerajaan tidak boleh beri pandangan atau mengkritik tetapi mereka boleh menggunakan saluran,” kata beliau.

Takiyuddin berkata, SPP bertanggungjawab mengendalikan urusan berkaitan kenaikan pangkat, tatatertib, perkara kebajikan dan sebagainya terhadap seluruh pasukan polis yang dianggotai hampir 130,000.

Pada sidang medianya Jumaat lalu, Hamid yang akan bersara esok, membayangkan SPP yang dipengerusikan Hamzah dicemari “unsur politik”.

Hamid berkata, Hamzah “sejak awal lagi di mesyuarat pertama SPP” mendesak untuk mendapatkan kuasa bagi menentukan penempatan pegawai polis.

“Beliau hanya diberi mandat untuk menetapkan dasar – apakah hala tuju pasukan ini, adakah pasukan ini pincang, atau pun pasukan ini menghadapi masalah dan kenapa – itu peranan dan tanggungjawab menteri.

“Bukan untuk nak menentukan siapa jadi CPO sini, siapa jadi pengarah sini, itu bukan kerja dia,” kata Hamid.

Hamid juga berkata, beliau telah membawa perkara itu terlebih dahulu ke perhatian Hamzah, Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara.

Acryl Sani Abdullah akan mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara daripada Hamid, Selasa depan.



No comments: