TAKUT NAK BERI MORATORIUM 40 BILLION UNTUK RAKYAT- AKHIRNYA HABIS 600 BILLION COVID TAK REDA REDA.....

 

Jangan tunggu kes Covid-19 melonjak lagi, bertindak segera, gesa pakar

PETALING JAYA: Dengan lonjakan kes dilaporkan di Lembah Klang, dan hospital hampir mencapai tahap kritikal, seorang pakar kesihatan mempersoalkan berapa lama lagi kerajaan akan menunggu sebelum bertindak.

Profesor kesihatan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia, Shafira Ezat Wan Puteh berkata, peraturan berkaitan Covid-19 “sepatutnya sudah diubah” sebaik sahaja kadar kebolehjangkitan mula meningkat.

Tambah beliau, kerajaan perlu bertindak dengan lebih cepat mengeluarkan arahan jelas demi kepentingan kesihatan awam, dan meningkatkan saringan di sekolah-sekolah dan komuniti, sejajar dengan peningkatan bilangan kes dan kluster di sana baru-baru ini.

Kata Shafira, had kapasiti yang ketat perlu dikuatkuasakan di sekolah, tempat kerja dan premis makanan sekiranya mereka dibenar untuk dibuka, kerana mengarahkan perniagaan untuk mematuhi peraturan tidak akan berkesan, kecuali dengan pengawasan pihak berkuasa.

“Walaupun garis panduan umum menyebut hanya separuh kapasiti dibenarkan, ia perlu ditegaskan kepada orang ramai dan (garis panduan) perlu dipatuhi, di setiap organisasi, tak kira kecil atau besar,” kata beliau.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata, lonjakan kes kini membimbangkan.

“Kita tidak sepatutnya tunggu kes meningkat lebih tinggi sebelum mengembalikan sekatan tertentu,” kata beliau.

Orang ramai tidak perlu menunggu arahan kerajaan, sebaliknya mengambil inisiatif langkah pencegahan, tambah beliau.

Ramai sudah berasa selesa dan kurang mematuhi peraturan berkaitan Covid-19, menurut Subramaniam.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang perlu kembali dikuatkuasakan, amalan bekerja dari rumah, dan mengurangkan mesyuarat bersemuka, adalah langkah pertama yang baik.

Ada juga kelemahan dari segi penguatkuasaan SOP yang perlu ditangani, tambah beliau.

“Sesetengah restoran tidak memiliki pengudaraan yang baik, manakala meja diletakkan terlalu dekat antara satu sama lain, menyukarkan penjarakan fizikal.

“Malah restoran-restoran kini beroperasi dengan kapasiti penuh,” kata beliau.

No comments: