INGAT SEMUA ..PEGANG KATA KATA LEBAI INI.--- Kerajaan jamin Undi18 dilaksana tahun ini

 

Takiyuddin Hassan menjangkakan dasar Undi18 dapat dilaksanakan Julai ini.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan memberi jaminan dasar Undi18 akan dilaksanakan tahun ini berbanding September 2022 untuk rakyat berumur 18 tahun ke atas mengundi pada pilihan raya umum ke-15 nanti.

Beliau menjangkakan dasar itu dapat dilaksanakan Julai ini memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi jangka masa yang tepat, tetapi yang pasti dalam tahun ini juga.

“Kalau boleh buat Julai ini, kita akan buat,” katanya dipetik Bernama selepas menyampaikan sumbang Aidilfitri kepada imam masjid Jumaat, halaqat dan penghulu bagi Parlimen Kota Bharu di Kelantan hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran automatik pengundi 18 tahun ditangguhkan sehingga selepas September 2022.

Katanya, sekatan pergerakan yang dilaksanakan susulan pandemik Covid-19, mengganggu persiapan SPR untuk melaksanakan dasar yang diluluskan Parlimen pada Julai 2019.

Takiyuddin berkata, kerajaan menyokong dan amat komited dalam memastikan usaha meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, dapat dilaksanakan.

Ditanya kenapa dasar itu perlu mengambil masa sebelum dilaksanakan, katanya, banyak perkara perlu diambil kira, khususnya aspek perundangan.

“Apabila ada perubahan daripada segi polisi, misalnya daripada 21 tahun kepada 18 tahun ini, ada perundangan tertentu yang perlu dipinda dan ditambah baik kerana di bawah pilihan raya itu, ada banyak undang-undang, antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta Pilihan Raya serta ada pertauran mengenai perjalanan pilihan raya dan sebagainya.

“Namun, SPR akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu berkaitan perundangan ini. Keduanya pula, isu teknikal juga perlu diambil tindakan oleh kerajaan, terutamanya SPR kerana apabila dibuka (undi 18 tahun), maka bilangan (pengundi) akan bertambah, sekali gus perlu tambah baik perisian dan sebagainya.”

Mengenai kepentingan meminda Perlembagaan, beliau berkata, kebanyakan negara sudah mengamalkan had umur 18 tahun sebagai pengundi dan undang-undang di negara ini juga menggariskan usia berkenaan sebagai “age of maturity”.

No comments: