Jangan teruskan hukuman 2 darjat di masa hadapan
Meskipun telah berlaku beberapa hari namun rakyat masih membicarakan nasib beberapa peniaga kecil di Kelantan yang baru-baru ini dihukum denda RM50,000 kerana didakwa berniaga melebihi had masa dibenarkan.
Bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Dr Zaliha Mustafa, Kerajaan Perikatan Nasional seharusnya mengkaji semula kadar kompaun berkenan dan memberi sedikit belas kasihan ke atas perniagaan kecil ketika kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid 19, seperti hari ini.
“Berita yang menghiasi dada akbar serta media sosial mengani denda yang terlampau yang dikenakan kepada seorang peniaga burger sebanyak RM50,000 di atas “kesalahan” yang kecil amat dikesali.
“Sangat menyedihkan apabila ianya berlaku di sebuah negara yang menegakkan Sistem Hukum serta kesopanan dan kesusilaan pula menjadi ikrar dalam Rukun Negara.
“Namun agensi penguat kuasa melakukan tindakan sewenang-wenangnya tanpa ada rasa timbang rasa dan simpati,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Pengerusi Biro Dasar, Strategi dan Latihan, Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat itu lagi, menghukum rakyat marhaen mengikut kehendak hati, tanpa diberi ruang siasatan duduk perkara sebenar tidak wajar diteruskan.
Sedangkan, katanya, mereka yang berkuasa dan punya nama besar dibiarkan melakukan kesalahan. Hal itu seharusnya tidak dipraktikan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang bertamadun.
“Sistem feudal yang tanpa belas kasihan ini wajib segera dihentikan. Rakyat tanpa mengira status masyarakatnya harus merasa aman, sejahtera serta dilindungi dalam sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berpelembagaan, apatah lagi yang mendokong Islam
sebagai agama rasminya,” kata Dr Zaliha lagi.