KUALA LUMPUR: Lebih 100 anak muda daripada Sekretariat Solidariti Rakyat berbuka puasa di hadapan bangunan Parlimen sebagai tanda protes ia masih belum bersidang.
Selain mendesak kerajaan segera “membuka” Parlimen, mereka turut menuntut enam perkara lain termasuk melaksanakan Undi18 serta-merta.
Empat lagi tuntutan adalah jaminan kemandirian ekonomi rakyat, pemerkasaan pendidikan yang selamat untuk semua, pemerkasaan hak Sabah dan Sarawak serta penguatkuasaan undang-undang saksama dan berperikemanusiaan.
Mereka pada mulanya berkumpul di tempat letak kenderaan Taman Tugu sebelum bergerak ke bangunan Parlimen.
Antara aktiviti dilakukan adalah bacaan Al-Quran dan kupasan ayat berkaitan kerajaan zalim, berbuka puasa beramai-ramai di hadapan Parlimen dan solat Maghrib.
Sekretariat itu terdiri daripada MUDA, Undi18, MISI: Solidariti, Bersih, Demokrat Kebangsaan/Borneo Komrad, PSM, Pemuda Amanah, Pejuanita Muda, PKR, kumpulan mahasiswa, YPolitics (Karmun), UMANY, SUARAM, DAPSY, Myer movement dan Malaysia Muda.
Turut hadir Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, ADUN Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali dan Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan.
Sebelum berbuka puasa, mereka menaikkan plakad antaranya tertulis “tamat darurat”, “buka puasa, buka Parlimen”, “rakyat bangkit” dan “sudah daftar sebagai pengundi”.