PETALING JAYA: Dua ahli ekonomi mendesak kerajaan mengkaji semula dasar terbaharunya mengenai pengambilan pekerja asing dan perlombongan mineral, menyifatkan Putrajaya seolah memberi isyarat mengelirukan kepada pelabur asing.
Bercakap kepada FMT, mereka berkata keputusan untuk melonggarkan penguatkuasaan peraturan mengenai perumahan pekerja dan pengekstrakan mineral yang tidak boleh diperbaharui menimbulkan persoalan mengenai komitmen kerajaan terhadap hak asasi manusia dan perlindungan alam sekitar.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan telah melakukan tugas baik dalam menangani masalah penginapan pekerja namun kecewa apabila Putrajaya membuat pusingan U.
Beliau merujuk kepada keputusan kerajaan untuk melonggarkan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja hingga akhir tahun ini.
“Ini luar biasa kerana Rabu lalu, (menteri kanan) Azmin Ali baru saja mengumumkan dasar Aspirasi Pelaburan Nasional baharu yang memfokus kepada pekerjaan bernilai tinggi dan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.
Williams berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melancarkan Pelan Transformasi Industri Mineral Nasional 2021-2030 untuk membangunkan industri mineral tempatan sehari selepas pengumuman Azmin.
Rancanga itu bertujuan memberikan pulangan jangka panjang dari industri mineral dan menjadikannya salah satu penyumbang utama ekonomi negara.
“Ia menghantar isyarat yang salah kepada pemegang taruh antarabangsa dan melemahkan komitmen lain kerajaan, contohnya, Matlamat Pembangunan Lestari PBB yang diumumkan oleh (menteri kewangan) Tengku Zafrul Aziz.”
Jelas Williams, ia turut memberi isyarat bahawa undang-undang hak asasi manusia dan buruh dapat dilonggarkan sewenang-wenangnya untuk “disesuaikan mengikut kepentingan kumpulan tertentu”, terutamanya majikan.
Benedict Weerasena dari Bait Al-Amanah berkata Malaysia tidak mampu lagi untuk kehilangan pelaburan asing yang memilih pesaing di negara serantau.
Memandangkan syarikat antarabangsa menilai semula hubungan mereka dengan pengeluar sarung tangan Malaysia berikutan dakwaan buruh paksa dan keadaan hidup mereka yang buruk, katanya negara tidak boleh lagi “mengulangi kesalahan yang sama”.
Memetik tinjauan Morgan Stanley Capital International baru-baru ini, 79% pelabur Asia Pasifik merancang untuk meningkatkan pelaburan ESG sebagai tindak balas terhadap penularan wabak.
“Secara keseluruhannya, ada keperluan untuk mencapai dan menegakkan amalan ESG yang lebih kukuh dalam komitmen negara terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya. “Ia memerlukan kerjasama erat kerajaan dan sektor swasta ke arah mempertingkatkan taraf buruh.”