Adakah institusi kita terjejas selepas 60 tahun pemerintahan Umno-BN?
By
ZUNAR
Things fall apart; the centre cannot hold;
Mere anarchy is loosed upon the world;
The blood-dimmed tide is loosed, and everywhere
The ceremony of innocence is drowned;
The best lack all convictions, while the worst
Are full of passionate intensity.
Di dalam surat berita
kami yang lepas, Azmil Tayeb bertanyakan: Quo vadis?
Apakah masa depan politik kita saatnya politik Melayu sudah terbahagi tiga – di
antara Umno, Pas dan Bersatu?
Pada suatu ketika, tidak lama dahulu, Umno mendominasi kesemua
politik berkenaan orang Melayu. Pas hanya mampu memberi cabaran di Kelantan dan
Terengganu, itu pun bukan secara konsisten.
Pada pilihan raya 2018, kita menyaksikan perubahan regim saatnya
gabungan Barisan Nasional-Umno digantikan selepas lebih 60 tahun dominasi
politik.
Kemudiannya, hanya setahun selepas itu, Umno bekerjasama dengan
Bersatu dan Pas, di bawah payung bagi mengukuhkan muafakat Melayu-Islam,
sekaligus menjejaskan gabungan Pakatan Harapan (yang merupakan gabungan
multi-etnik yang tulen di Malaysia). Ianya merupakan kudeta pintu belakang yang
dijalankan di Sheraton pada akhir Februari 2020.
Ketidakstabilan
dan ketidakpastian politik
Semenjak itu, ketidakstabilan terjadi, dan sekaligus politik di
Malaysia menjadi tidak pasti. Bukan saja politik Melayu terbahagi tiga, bahkan
Umno-BN tidak lagi di berada di pusat kuasa.
Kita ada Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin Yassin yang
berkuasa membuat keputusan, namun kita tidak tahu siapa pasangan Bersatu yang
sebenarnya.
Apa yang kita tahu, Dr Mahathir Mohamad, anaknya Mukhriz serta
beberapa bekas pemimpin Bersatu kemudiannya menubuhkan parti baru, Pejuang.
Kita juga tahu yang wujudnya pertarungan di antara kelompok di
dalam Umno. Sesetengah pemimpin seperti Hishammuddin Hussein dan Khairy
Jamaluddin terus bekerjasama dengan PN dan berkhidmat sebagai menteri. Beberapa
yang lain seperti Zahid Hamidi mahu memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
Semenjak kudeta Sheraton, Parlimen hanya bersidang sekejap.
Dengan darurat yang berlanjutan, yang diisytiharkan bagi menangani Covid-19,
Parlimen tidak akan bersidang untuk beberapa lama juga. Jelas yang PN takut
menghadapi undi tidak percaya di Parlimen jika semuanya dibenarkan bersidang!
Pilihan raya umum, tampaknya kian mendatang. Namun, dengan
politik Melayu yang terbahagi seperti ini, barangkali kita akan menyaksikan
persaingan beberapa penjuru, serta kemungkinan tiada parti akan memenanginya
secara terus.
Benar, Umno besar kemungkinan akan memenangi paling banyak
kerusi di kawasan majoriti Melayu (kerusi dengan lebih 60% pengundi Melayu).
Pas akan mendominasi Kelantan dan Terengganu namun tidak di Kedah, manakala
Bersatu (termasuk bekas pemimpin yang bersama Mahathir di dalam Pejuang) hanya
akan menjadi nota kaki!
Pun begitu, walau sebagus mana sekalipun Umno memenangi kerusi
di kawasan majoriti Melayu, ia tidak akan dapat membentuk kerajaan sendiri.
Umno tidak akan berjaya di kawasan multi-etnik (di mana PKR akan mendominasi),
atau di kawasan bandar bukan-Melayu (yang tidak disangkal, akan dimenangi oleh
DAP). Parti-parti di Sabah dan Sarawak pula sedang memikirkan semula gabungan
dari Semenanjung yang mana akan mereka dukung.
Darurat
– memperkukuh yang berkuasa, namun memburukkan ekonomi
Tiga ahli ekonomi tersohor – Muhammed Abdul Khalid, bekas
pengarah Institut Penyelidikan Khazanah serta bekas penasihat perdana menteri;
Jomo Kwame Sundaram, bekas pembantu setiausaha agung PBB serta penasihat senior
Institut Penyelidikan Khazanah; serta Nungsari Ahmad Radhi, bekas pengerusi
suruhanjaya penerbangan (MavCom) – semuanya sudah menyuarakan pendapat
berkenaan darurat yang berlanjutan ini.
Ketiga-tiga mereka berpendapat bahawa darurat memburukkan
ekonomi Malaysia. Jomo juga memperhalusi bagaimana lima peristiwa darurat yang
sebelum ini hanya memperkukuh mereka yang di
puncak kuasa, berbanding rakyat.
Di dalam dapatan berkenaan keadaan perniagaan
yang dijalankan oleh Federation of Malaysian Manufacturers dan Malaysian
Institute of Economic Research, lebih 80% responden mengalami pengurangan
keuntungan serta pendapatan yang merudum pada separuh tahun pertama 2020. Hanya
pengeluar sarung tangan yang melaporkan keuntungan serta pendapatan lebih
tinggi.
Lebih menggusarkan, 42% responden merancang untuk mengurangkan
30% pekerja mereka pada akhir tahun 2020 bagi memastikan bisnes terus hidup. Dapatan
ini turut mendedahkan bahawa lebih banyak kakitangan akan diberhentikan pada
2021 akibat dari aktiviti pengeluaran yang semakin merudum. Selain dari mereka
yang di dalam sektor sarung tangan getah, kapasiti pengeluaran tidak berupaya
kembali seperti sedia kala sebelum keadaan Covid. Malahan, kebanyakan pengilang
beroperasi pada kadar separuh kapasiti akibat dari jatuhnya permintaan dari
dalam serta pengeksport.
Yang paling terkesan juga adalah pengilang bahan pembinaan bagi
sektor pembinaan. Seterusnya, pengilang makanan bagi industri pelancongan.
Sekitar 39% percaya bahawa syarikat mereka dapat bertahan kurang daripada 12
bulan akan datang; 34% pula janka mereka boleh bertahan lebih daripada 12
bulan. Ramai daripada mereka merasakan bahawa ianya akan mengambil masa sampai
dua tahun bagi memulihkan bisnes mereka.
Selain dari pengeluaran, pelancongan, aktiviti sosial, runcit,
hospitaliti serta sektor harta benda juga terkesan. Air Asia menjalankan tiga
kali proses pemberhentian kerja, mengurangkan sejumlah 2,000 orang dari 24,000
pekerjanya. Malaysia Airlines, yang mempunyai liabiliti lebih dari RM15bn,
sedang berbincang dengan para pemajak serta melihat kepada kemungkinan suntikan
dana daripada Khazanah. Jika tidak, syarikat penerbangan mungkin terpaksa
ditutup terus!
Genting Group, yang menjalankan kasino, hotel, pusat rekreasi
dan hiburan serta perkhidmatan kereta kabel ke puncak Genting, sudah
memberhentikan kebanyakan operasi serta membuang hampir 3,000 pekerja, iaitu
15% dari keseluruhan tenaga kerjanya, serta menggantung bayaran kepada
peminjamnya. Genting Hong Kong (dulu dikenali sebagai Star Cruises)
memberhentikan terus operasi dan berhutang sebanyak $3.4bn (RM14bn).
Penang, yang sangat bergantung kepada pelancong luar,
menyaksikan banyak hotel ditutup di George Town serta sepanjang pantainya di
Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi. Ketika perintah kawalan pergerakan
dilonggarkan pada awal 2021, ramai pelancong domestik tiba-tiba berkunjung ke
hotel tepi pantai, yang menawarkan diskaun bilik sewaktu hari minggu yang
panjang. Namun, kadar sewaan bilik masih rendah, apatah lagi ketika perintah
kawalan pergerakan diperketatkan semula.
Pada Mei 2020, seramai 826,000 orang mendaftarkan diri mereka
sebagai pengganggur dengan Jabatan Statistik. Ini merupakan kadar penggangguran
setinggi 5.3% – lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, sewaktu kita
perlu untuk mengimport empat hingga lima juta pekerja asing bagi menampung
perkembangan ekonomi. Hampir separuh juta lepasan universiti dipercayai
mengganggur sekarang, yang tidak kesemuanya dimasukkan ke dalam jumlah bilangan
pengganggur yang dinyatakan di atas.
Pelaburan
asing yang mengering
Sudahpun terkesan dengan pandemik, darurat bahkan memburukkan
lagi keadaan bagi rakyat serta ekonomi. Keyakinan pelabur yang berpotensi
semakin menurun akibat dari ketidakstabilan politik serta perubahan polisi.
Negara menyaksikan kadar pelaburan asing terendah dalam dua dekad ini, bukan
saja dengan rekod kita sebelum ini, malahan jika dibandingkan dengan jiran
Asean.
Kesan signifikannya, Facebook dan Google merancang pembinaan dua
kabel dasar laut menghubungkan pesisir barat Amerika ke Indonesia dan
Singapura, namun tidak ke Malaysia. Kabel ini merupakan sebagian dari rancangan
syarikat gergasi teknologi ini bagi membuka akses lebih meluas serta
perkhidmatan internet yang lebih laju di rantau ini.
Malangnya, Malaysia tidak termasuk dalam perancangan ini kerana
ia menarik pengecualian yang diberi di bawah polisi cukai kabotase. (Polisi
kabotase, yang mengurus pentadbiran perkapalan pesisir dalam negara, bertujuan
bagi membangunkan perkapalan Malaysia bagi mengurangkan kebergantungan kepada
kapal asing). Kerajaan Pakatan Harapan dahulu sudah pun membenarkan
pengecualian kepada syarikat gergasi teknologi. Pengecualian ini seharusnya
membenarkan kapal asing untuk terlibat di dalam menjalankan kerja-kerja
pembaikan serta servis untuk berlabuh tanpa perlu membayar caj berlabuh yang
biasanya dikenakan kepada kapal membawa barangan serta penumpang.
Barangkali, ini turut memperjelaskan mengapa Malaysia tidak
termasuk dalam senarai 40 buah negara yang dijemput Rumah Putih bagi menghadiri
“Persidangan Pemimpin Tentang Klimat” pada 23-24 April. Sebaliknya, yang
mewakili Asia Tenggara adalah Indonesia, Vietnam dan Singapura.
Rasuah
menjijikkan di puncak kuasa
Reputasi Malaysia turut tercalar jauh sebelum pandemik dan
keadaan darurat. Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dinamakan sebagai
“Malaysian Official No 1” dan disiasat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat
kerana menyalurkan duit milik kerajaan ke dalam akaunnya sendiri, termasuklah
yang diperoleh di Amerika.
Pendakwa raya di Malaysia membacakan tujuh dakwaan berkaitan
kepada Najib – salah guna kuasa, tiga tuduhan jenayah pecah amanah serta tiga
tuduhan pengubahan wang haram – melibatkan wang sebanyak RM42 juta dari SRC
International Sdn Bhd, sebuah firma milik Kementerian Kewangan. Perkara ini
terjadi di antara 2014 dan 2015, ketika Najib merupakan Menteri Kewangan dan
Perdana Menteri. Pada Julai 2020, Najib didapati bersalah dan dijatuhkan
hukuman penjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.
Barangkali Washington sendiri tahu Najib sedang mengemukakan
rayuan bagi sabit kesalahannya (yang sekarang menghampiri hari keputusan), dan
mereka mungkin tahu Zahid Hamidi, yang menggantikan Najib sebagai presiden
Umno, sendiri menghadapi perbicaraan kes rasuah. Turut menghadapi kes ialah
berapa pemimpin Umno yang lain seperti Tengku Adnan Tengku Mansor dan Mohd Isa
Abdul Samad.
Pendek kata, reputasi Malaysia di peringkat global sudah pun
menerima tamparan hebat saatnya kes rasuah berlaku di puncak kekuasaan
pentadbiran.
Respon
menangani Covid yang goyah walaupun di bawah pentadbiran darurat
Selain daripada bermain politik bukan di tempatnya serta keadaan
ekonomi yang memburuk, ditambah pula dengan keadaan darurat serta rasuah yang
berlaku di puncak kuasa, respon goyah kerajaan Malaysian berkenaan Covid-19
sungguh membebankan negara.
Menteri Kesihatan Adham Baba bukan sahaja tidak meningkatkan
keyakinan, apatah lagi ketika beliau menyarankan untuk meminum air suam bagi
menangani virus.
Kerajaan PN yang diketuai Muhyiddin Yassin juga mengamalkan
pilih kasih dalam menangani Covid – ketika orang awam didenda dengan berat
malahan ada yang dipenjarakan kerana melanggar peraturan bagi mencegah Covid,
namun ada pemimpin politik, termasuklah menteri, yang diperlakukan acuh tidak
acuh!
Bayangkan, mengapa rakyat terpaksa dikuarantin selama 14 hari
namun para menteri tidak payah! “Apa logiknya?” seperti yang diciap di sebuah
akaun Twitter.
Pembukaan semula sekolah pada April juga mengakibatkan kluster
baru terjadi. Sekolah ini terpaksa ditutup bagi tujuan disinfeksi serta
saringan kesihatan melibatkan guru dan pelajar. Walaupun, sekolah hanya dibuka
semula pada Mac dan April.
Ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mendedahkan
bahawa terdapat 41 kluster Covid melibatkan pembukaan semula sekolah pada akhir
Mac. Pada awal April, enam pelajar disahkan positif di sekolah rendah, yang
kemudiannya ditutup.
Pengumuman terbaharu mendedahkan penemuan enam kluster baru.
Penguatkuasa kesihatan daerah mengarahkan penutupan 19 buah sekolah di daerah
Petaling bagi disinfeksi serta menjalankan saringan hubungan
rapat.
Dan kini, terdapat ramai orang yang berkumpul, ramai di antara
mereka tidak kisah akan penjarakan sosial, di bazar Ramadan serta gedung
membeli-belah. Yang jelas, ianya melibatkan rakyat Malaysia dari semua latar
belakang etnik.
Mengikut pemerhatian yang dilaporkan di media sosial, Malaysia
barangkali akan berdepan ombak keempat pandemik selepas cuti Raya, jika tidak
lebih awal. Jadi, apa gunanya pengisytiharan darurat sebenarnya? Siapa dapat
menyalahkan rakyat jika mereka mempercayai yang darurat ini merupakan permainan
politik bagi mengelakkan Parlimen dari bersidang.
Saya bahkan tidak akan mencuba untuk menyentuh betapa lembabnya
proses vaksinasi kita. Jadi, saya tidak akan mengulang apa yang diperkatakan
tentang “para raja dan kaum kerabatnya”, dalam memotong barisan serta mendapat
suntikan pilihan mereka sendiri itu.
Namun, barangkali kalian mahu menyemak kempen #kerajaangagal di
media sosial serta laporan berita ini.
Sebuah
‘gabungan besar’?
Hari April Fools datang dan pergi. Dan sekarang kita berdepan
dengan ketidakstabilan serta ketidakpastian politik, ekonomi yang semakin
memburuk walaupun ketika pentadbiran darurat, respon goyah dari kerajaan bagi
menangani Covid, serta reputasi Malaysia di peringkat global yang merudum – ditambah
pula dengan rasuah di peringkat tertinggi negara.
Di dalam surat berita minggu lalu, Azmil Tayeb mencadangkan
wujudnya sebuah kemungkinan agar sebuah gabungan politik dibentuk, kali ini
melibatkan Umno dan PH (terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP). Pemimpin Umno,
termasuklah Zahid, sering bersumpah bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan
DAP.
Namun, pada Azmil, nampaknya ‘gagasan besar’ ini yang sekaligus
membawa pelbagai parti dengan ideologi yang rencam, seperti di Jerman,
berkemungkinan terjadi.
Apakah ini sebuah formula yang dapat membawa semua parti politik
di Malaysia bersama? Dimanakah wujudnya di Malaysia sosok seperti Angela
Merkel, yang disegani oleh semua parti di Malaysia mahupun di peringkat global?
Adakah gabungan besar di Malaysia ini akan didukung oleh
institusi serta prosedur demokratik yang kuat, seperti di Jerman? Benarkah?
Apakah institusi kita seperti birokrasi, kehakiman, badan polis serta
Suruhanjaya Pilihan Raya, sudah terjejas selepas 60 tahun pemerintahan Umno-BN?
Ataupun mereka kekal tidak berpihak dan mempunyai autonomi sejak enam dekad
yang lalu?
Dan adakah ekonomi kita teguh dalam menghadapi kesemua permainan
politik yang pastinya berlaku? Atau adakah semuanya “akan porak peranda”
saatnya “apa yang di pusat tak lagi tertanggung”?
Francis Loh
Editor bersama, Surat berita Aliran
1 MEI 2021
TERBTAN SEMULA WRLR.
Terjemahan oleh Zikri Rahman