Ke arah mana, politik Melayu-Islam?


Barangkali BN 2.0 yang dibentuk oleh polisi serta kurang fokus kepada etnik akan muncul dari perikatan baru melibatkan teman sekatil yang aneh ini

By

 Azmil Tayeb

 




Kita sedang menyaksikan rekahan yang semakin membesar di dalam parti politik Melayu yang utama, Umno, ketika negara menuju ke pilihan raya umum.

Rekahan yang jelas membahagikan pemimpin parti serta anggota yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional sekarang dari mereka yang mahukan Umno untuk bergerak secara mandiri, termasuklah untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Ini bukanlah kali pertama Umno berpecah kepada beberapa kelompok yang saling bertingkah di mana akhirnya mengakibatkan parti terpaksa disusun semula selepas semuanya selesai.

Pengasas Umno, Onn Jaafar, meninggalkan parti pada 1951 selepas gagal membuka keahlian parti kepada kelompok etnik yang lain.

Tidak dilupakan juga, Pas juga merupakan serpihannya yang keluar pada awal 1950an.

Kemudian, selepas rusuhan kaum 13 Mei pada 1969, Umno diambil alih oleh kelompok garis keras, yang sekaligus mengenepikan tokoh moderat seperti Tunku Abdul Rahman.

Pada 1987, Umno sekali lagi bergelumang dengan krisis dalaman saatnya Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bertelingkah merebut kerusi presiden parti. Kemenangan Mahathir yang kontroversi itu dicabar di mahkamah oleh kelompok Umno yang kalah. Namun sebelum kes mereka sampai ke mahkamah yang tertinggi, beberapa hakim utama di dalam mahkamah tersebut sudahpun dipecat atau digantung. Ketika parti sudah diisytihar haram, Mahathir serta penyokongnya mendirikan Umno Baru manakala kelompok Razaleigh pula menubuhkan Semangat 46.

Di tahun 1998, Umno berdepan krisis dalaman ketika timbalan presiden, Anwar Ibrahim, dipecat secara mengejut. Ianya memecah-belahkan parti sekaligus mencetuskan gerakan Reformasi. Ramai penyokong lama Umno meninggalkan parti dalam keadaan kecewa dan menyertai Pas serta PKR yang baru ditubuhkan. Umno sekaligus dilemahkan sehinggakan kerajaan Barisan Nasional ketika itu, hampir tersungkur pada pilihan raya 1999 jika bukan kerana dukungan penuh dari kelompok etnik yang lain.

 

Di dalam semua krisis ini, Umno seringkali berada di dalam posisi dominan, yang membenarkannya untuk kembali menguat. Semangat 46 tidak dapat menggugah cengkaman Umno terhadap pengundi Melayu, manakala Pas kekal menjadi parti ‘negeri’ yang tidak dapat menggugat Umno di peringkat nasional.

Sejak 2018, walaubagaimanapun, politik Melayu-Islam terbahagi kepada tiga bentuk –  Umno, Bersatu dan Pas – di mana ketiga-tiga parti bersaing mendapatkan dukungan dari kelompok pengundi Melayu yang sama.

Ironinya, perebutan tiga penjuru melibatkan undi Melayu ini bermula sebagai perikatan “kesatuan Melayu-Islam”, yang dikenali sebagai Muafakat Nasional, yang berniat untuk mempertahankan kedaulatan Melayu-Islam daripada sebarang ancaman, utamanya dari kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Kesatuan Melayu-Islam ini membuktikannya ia hanyalah topeng bagi parti-parti itu untuk merampas kuasa dari PH pada hujung Februari 2020 serta kemudiannya berkongsi hasil kudeta. Soal etnik dan keagamaan diketepikan saatnya ketamakan dan kuasa mendominasi kerajaan PN.

‘Abang besar’ Umno terpaksa beralah dengan ‘adik kecil’ Bersatu. Inilah yang kemudiannya mencetuskan ketegangan dalaman Umno, yang dihamburkan ketika perhimpunan agung tahunan yang baru saja selesai itu.

Apa yang terjadi sekarang? Sukar untuk dinyatakan adakah Umno akan kembali ke dakapan PN bagi mengelakkan persaingan banyak penjuru ketika pilihan raya akan datang. Umno mempunyai hampir seluruh kekuatan undi, dan Umno sedar akan hal ini. Ia mempunyai gerakan akar umbi yang berdisiplin, jenama yang dikenali, kesetiaan pada parti serta prestij sosial di kalangan negeri bermajoriti Melayu.

Bersatu merupakan ‘orang baru’ yang dinaikkan ke puncak kuasa ketika skandal 1MDB serta tsunami politik 2018. Satu-satunya kelebihan undi yang ia miliki adalah akses kepada duit kerajaan persekutuan sebagai sumber naungannya. Namun, adakah ianya mencukupi bagi parti ini?

Barangkali pilihan raya 2018 dapat memberikan kita sedikit gambaran.

Bersatu bertanding di 52 buah kerusi parlimen dan memenangi 13 daripadanya. Ianya sebuah rekod buruk di mana hanya 25% kadar kemenangan di dalam pilihan raya yang menyaksikan persaingan tiga penjuru di kebanyakan kawasan majoriti Melayu di mana BN-Umno cukup lemah.

Sebagai perbandingan, PKR bertanding di 71 kerusi dan memenangi 47 (66% kadar kemenangan) manakala DAP pula bertanding 47 kerusi dan memenangi 42 (kadar kemenangan setinggi 89%).

Tambahan pula, kebanyakan MP Bersatu yang memenangi kerusi pada 2018, misalannya Mahathir, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq dan Maszlee Malik meninggalkan parti selepas Langkah Sheraton berlaku.

Ianya jelas yang walaupun PH terkesan dengan tsunami politik 2018, Bersatu tetap menjadi batu yang membebankan perikatan politik itu.

Tidak pelik mengapa Bersatu benar-benar mahukan Umno untuk kekal di dalam kerajaan PN. Bersatu sedar bahawa mereka akan ‘disapu’ keluar pada pilihan raya akan datang, lebih-lebih lagi di dalam persaingan banyak penjuru.

Namun, katakanlah, jika pun Umno setuju untuk kekal bersama PN bagi pilhan raya akan datang, adakah parti itu, dalam logiknya, sanggup mengenepikan kelebihan undinya yang cukup besar semata-mata kerana ‘kesatuan Melayu-Islam’? Hanya mereka yang bodoh akan percaya taruhan sebegitu.

Bagaimana kemudiannya dinamik Melayu-Islam ini akan membentuk politik masa depan di Malaysia? Nampak gaya, Umno akan memenangi kebanyakan kerusi di kawasan majoriti Melayu; Pas akan kekal mendominasi di Kelantan, Terengganu dan Kedah; manakala Bersatu akan menjadi nota kaki di dalam sejarah.

Namun Umno perlu membentuk gabungan politik dengan majoriti jika ia mahu mengambil alih kerajaan persekutuan. Soalnya, parti mana yang sanggup bekerjasama untuk mentadbir bersama Umno?

Kita sekarang mendengar desas-desus yang cukup kuat melibatkan perbincangan di antara Umno dan PH, lebih-lebih lagi selepas bocornya perbualan telefon di antara presiden Umno Zahid Hamidi serta pemimpin PH, Anwar Ibrahim. Apa yang berlaku jika Umno dan PH tidur sekatil? Adakah ia akan menjadi BN 2.0 dengan Umno menjadi pasangan yang dominan menguasai parti komponen yang lain?

Satu perkara yang jelas, DAP bukanlah MCA dan PKR bukanlah MIC. Kedua-dua PKR dan PKR boleh menyaingi kekuatan pilihanraya Umno dan tidak akan mudah dilemahkan seperti mana MCA dan juga MIC.

Barangkali BN 2.0 yang dibentuk oleh polisi serta kurang fokus kepada etnik akan muncul dari perikatan baru melibatkan teman sekatil yang aneh ini?

Jerman, misalannya, sudah pun ditadbir selama 16 tahun oleh gabungan persekutuan rentas ideologi yang melibatkan konservatif serta demokrat sosial atau lebih dikenali sebagai Große Koalition (Grand Coalition), yang dipimpin oleh Canselor Angela Merkel yang tidak goyah. Ianya sebuah gabungan yang berpandukan program dan stabil walaupun perbezaan ideologikal yang berbeza pada setiap komponen partinya, sehinggakan ianya dapat mengeluarkan Jerman dari krisis kewangan dunia tanpa kesan langsung.

Adakah ini model pentadbiran yang kita jangkakan di Malaysia selepas pilihan raya akan datang? Hanya satu cara untuk tahu.

Azmil Tayeb
Editor bersama, Surat berita Aliran

SIARAN SEMULA PADA 1 MEI  2021 OLEH WRLR

Terjemahan oleh Zikri Rahman