SPEKULASI
WALAUPUN perhimpunan agung Umno (PAU) telah memutuskan wakil
rakyat mereka yang jadi menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PN akan
menarik balik sokongan pada Ogos depan, namun arahan itu seperti tidak akan
dipedulikan oleh sembilan menteri dan lima timbalan menteri.
Sembilan menteri itu
ialah, Annuar Musa, Noraini Ahmad, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ismail Sabri
Yakob, Shamsul Anuar Nasarah, Halimah Mohamad Sadiqe , Hishammuddin Hussein,
Reezal Merican Naina Merican dan Adham Baba.
Mereka seperti akan kekal
dalam kerajaan setidak-tidaknya sehingga parlimen dibubarkan, dimana pembubaran
itu menyebabkan jawatan mereka turut termansuh secara automatik.
Jika itu berlaku bermakna
sembilan menteri itu tidak ada apa-apa nilai pengorban untuk parti mereka yang
boleh dibanggakan ahli bawahan.
Perkara ini dapat dilihat
kepada sikap para menteri itu yang akur dengan nasihat Muhyiddin Yassin yang
meminta mereka kekal dalam kerajaan atas alasan untuk bantu rakyat dan dikala
negara sedang diancam pandemik.
Perkara ini dinyatakan
oleh Muhyiddin selepas para mereka itu berjumpa dengannya untuk meminta nasihat
setelah parti Umno membuat keputusan.
Kata Muhyiddin seperti
dilapor semua menteri Umno bersetuju untuk kekal dalam kerajaan. Ertinya
kesembilan menteri itu bersetia dan berkhidmat dengan Muhyiddin.
Apa yang berlaku itu agak
aneh sedikit, kenapa menteri itu berjumpa dan meminta pandangan perdana menteri
mengenai kedudukan mereka. Kenapa mereka tidak berjumpa dengan Zahid
Hamidi selaku presiden parti untuk meminta nasihat dan pandangan
mengenai kedudukan mereka. Walaupun mereka sudah maklum keputusan PAU tetapi
seeook-eloknya mereka berjumpa secara formal dan eksukutif dengan presiden
parti.
Apakah mereka lebih
menghormati Muhyiddin berbanding dengan Zahid? Benar mereka berada di dua
keadaan, selaku jemaah menteri dan ahli parti. Sebagai jemaah menteri wajar
mereka berjumpa dan meminta pandangan Muhyiddin, tetapi tidak boleh
membelakangkan Zahid atau meletakkan Zahid diurutan ke dua.
Sebagai ahli parti mereka
juga perlu meminta nasihat dan kauseling daripada Zahid. Dalam konteks politik
mereka seharusnya lebih menghormati dan mengutamakan kehendak Zahid berbanding
dengan Muhyiddin.
Iya, walaupun PAU
menetapkan mereka akan berundur daripada kerajaan pada Ogos itu hanya tektikal
sahaja. Apa yang sepatutnya mereka faham mesej keputusan PAU itu dengan
meletakkan jawatan sebaik sahaja PAU itu selesai. Tindakan begitulah baru
dilihat sebagai gentlemen. Sama ada mereka akan diminta berkhidmat, ia boleh
dirundingkan selepas itu. Mereka perlu menunjukkan komitment dan pengorbanan
mereka yang mahu dilihat oleh ahli.
Apabila mereka tanpa
berbuat sesuatu yang boleh dijadikan kayu ukur sejauh mana pengorbanan mereka,
jangan marah kalau mereka dituduh mementingkan perut daripada parti dan
perjuangan. Hari ini pun apabila mereka terus menyokong Muhyiddin ada yang
marah dan kecewa.
Dengan apa yang berlaku
itu ia memberi masalah kepada Umno dan tidak menguntungkan parti Melayu itu.
Lima bulan lagi untuk sampai Ogos suatu masa yang panjang dan boleh berlaku
apa-apa sahaja yang diluar orbit pemikiran biasa. Umno sepatutnya tidak
bertolak ansur dan berdiplomasi untuk segera menarik sokongan. Muhyiddin tentu
akan menggunakan peluang tersebut untuk berikhtiar mengekalkan kedudukannya
sebagai perdana menteri.
Sudah tentu kesembilan
orang menteri itu dan timbalan akan dijadikan tongkat serandang untuk
memperkukuhnnya. Muyiddin juga akan jadi model menunjukkan beliau disokong. Apa
dibimbangkan, apabila sudah selesa dengan kerajaan PN, dan dalam masa sama
menjadi tawar hati pula dengan kepimpinan parti (Umno), lama kelamaan mereka
akan larut dan sebati dengan Muhyiddin.
Ia dapat dilihat apabila
bekas presiden Najib Razak dan Zahid disumbat ke dalam
penjara. Musibah itu menyebabkan mereka tambah selesa dan tidak mustahil juga
akan berunding untuk memperdagangkan parti demi kepentingan mereka secara
peribadi. Dalam politik kini keutamaan diri lebih penting daripada parti. [wm.kl.10:52
am 31/03/2021]