Kenapa perbalahan dalam UMNO masih berterusan lagi seperti sekarang ini?
Kalau ikut logik, oleh kerana ketetapan putus hubungan dengan Bersatu dan kemudian UMNO akan bertanding sendirian atas tiket BN dalam PRU15 adalah kehendak akar umbi parti itu sendiri, tidak sepatutnya wujud sebarang masalah lagi apabila ketetapan itu sudah dimuktamadkan.
Keputusan tersebut seharusnya disokong penuh oleh semua pihak dalam UMNO, tidak kira oleh kluster mahkamah, kluster menteri atau kluster lain selain itu.
Lagi pun, bukankah hanya dengan bertanding atas tiket BN dan tidak terikat dengan PH atau PN saja yang membolehkan UMNO kembali dominan dan dapat semula jawatan Perdana Menteri?
Meskipun mungkin banyak sebab mengapa kekalutan sekarang berlaku dan lain orang lain hujahnya, tetapi tidak dapat tidak, harus diakui sebab utamanya ialah kerana UMNO lambat membuat keputusan memutuskan hubungannya dengan Bersatu.
Dengan keputusan putus hubungan sudah dimuktamadkan, tetapi terus kekal berada dalam kerajaan PN dan hanya akan meninggalkan kerajaan apabila Parlimen dibubarkan atau menjelang 1 Ogos apabila tempoh darurat berakhir dan PRU dianggap sudah boleh diadakan, ia dengan sendirinya memberi ruang sangat terbuka kepada banyak ‘virus jahat’ dan ‘hantu raya’ mengambil kesempatan.
Kiranya ketetapan putus hubungan yang dimuktamadkan melalui PAU Ahad lalu disekalikan dengan tindakan segera menarik diri daripada kerajaan PN, pasti apa yang terjadi sekarang tidak berlaku.
Ini kerana sudah tiada sebarang ruang untuk apa-apa ‘virus jahat’ dan ‘hantu raya’ untuk mengambil kesempatan lagi.
Meskipun majoriti UMNO bahagian-bahagian telah meluluskan usul putus hubungan dan kemudian ia dimuktamadkan dalam PAU, harus disedari ketetapan itu bukan perkara yang disenangi oleh Bersatu.
Bersatu sedar, tanpa kerjasama dan kesediaan berkongsi kerusi daripada UMNO, ia akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan kuasanya kerana akar umbinya berbeza langit dan bumi dengan UMNO.
Sukar Bersatu mengekalkan kuasa, bermakna sukar jugalah untuk Muhyiddin mempertahankan jawatan Perdana Menterinya.
Lantaran itu, berbekalkan kuasa Perdana Menteri yang sedang dipegangnya, Bersatu memang cuba berusaha sedaya upaya memaksa UMNO bekerjasama dengannya, sekaligus ini bererti memberi laluan lagi kepada Muhyiddin untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.
Begitu pun, ketakutan paling besar bagi pemimpin UMNO yang waras jika Muhyiddin terus berkuasa ialah kemungkinan UMNO akan dimatikan dan Bersatu dijadikan penggantinya.
Melalui kuasa yang dimilikinya, Muhyiddin memperlihatkan ia telah berjaya menarik dan mempengaruhi beberapa sosok dalam UMNO untuk lebih memihak kepada Bersatu berbanding parti yang mereka sendiri menjadi ahlinya.
Menggunakan pelbagai slogan seperti perpaduan Melayu, demi kepentingan rakyat, untuk mengelakkan DAP berkuasa dan pelbagai lainnya, semuanya tidak lain adalah kata-kata manis yang bertujuan untuk mengekalkan lagi kuasa Muhyiddin semata-mata.
Ditambah lagi sejak UMNO hilang kuasa pada 2018 lalu dan kemudian diberikan jawatan dalam kerajaan atau GLC, terbukti ramai pemimpin UMNO jadi nanar dan tidak sedar diri sehingga sanggup melihat parti dibuli dan dikuasai oleh pihak lain.
Mahu menyalahkan kluster menteri seratus-peratus pun atas masalah yang berlaku dalam UMNO sekarang ternampak agak keterlaluan kerana sejak zaman berzaman lagi, harga sebuah perjuangan memang selalu kecundang dengan nilai kedudukan, habuan, jawatan dan keseronokan memiliki banyak wang.
Oleh itu, apalah nak dihairankan jika sekarang Presiden parti lain yang menjadi Perdana Menteri lebih dihormati dan didengar kata-katanya berbanding Presiden UMNO sendiri.
Dulu ketika Presiden UMNO adalah Perdana Menteri, kluster menteri bukan setakat mencium tangan, memberi tabik, sentiasa menyokong dan mengiyakan segala kata-katanya, malah puji-pujian juga tidak lekang daripada bibir mereka.
Apa pun, berdasarkan kemelut yang ada sekarang, lagi lama tempoh menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan terngaga begitu saja, UMNO akan terus berbalah dan berantakan sesama sendiri.
Berbalas kenyataan dan serang menyerang akan terus berpanjangan, bahkan yang diberi gaji, jawatan dan kedudukan dalam kerajaan akan lebih menyerlahkan keberanian, meski yang diserang, dicemuh dan dibelasah itu adalah pemimpin dan parti mereka sendiri.
Belum terlambat sebenarnya untuk Presiden UMNO, Zahid Hamidi berbuat sesuatu dengan segera, terutama di ketika barisan MT dan akar umbi masih ramai yang memihak dan menyokong kepimpinannya..
Bersama ketetapan putus hubungan dengan Bersatu yang telah dimuktamadkan dan dipersetujujo akar umbi, Zahid Hamidi harus mengadakan mesyuarat MT UMNO dengan segera bagi menetapkan keputusan keluar daripada kerajaan dengan serta-merta.
Perkara itu kini tidak boleh dilambatkan lagi kerana lagi lambat keputusan dibuat, lagi banyak masalah yang menghimpitnya akan timbul nanti.
Apabila banyak masalah timbul, harapan menang PRU15 turut jadi kabur.
Bahkan, dengan menyegerakan tindakan keluar kerajaan juga, yang tidak setuju dengan keputusan itu, termasuk sesiapa daripada kluster menteri, boleh saja diambil tindakan atau mereka memilih meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.
Akhirnya, siapa musuh dan siapa kawan lebih mudah untuk dikenalpasti dan dikawal.
(Shahbudinditcom 01/04/2021)