Hanya tiga hari selepas berakhirnya PAU2020 di mana UMNO akhirnya memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, sambil dalam waktu yang sama terdapat lontaran kata dua agar Pas membuat pilihan – mahu bersama MN atau PN – segala-galanya kini sudah terang-benderang sebagai pengetahuan tanpa diperlukan apa-apa suluhan lagi.
Dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan hari ini oleh Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung Pas,Takiyuddin Hasan, kedua-dua parti mengambil ketetapan untuk terus mengukuhkan kerjasama melalui PN.
Ketetapan itu diambil selepas pertemuan antara kepimpinan tertinggi Bersatu dan Pas yang diketuai Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang semalam, 30 Mac 2021.
Berikutan adalah persetujuan bersama yang dicapai dalam pertemuan tersebut:-
1. Bersatu dan Pas akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15;
2. Bersatu dan Pas, selaku antara Parti Pengasas Utama Perikatan Nasional, akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju Parti khusus bagi menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi;
Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen;
3. Bersatu dan Pas bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya;
4. Bersatu dan Pas sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong konsep tersebut, sekaligus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan Perikatan Nasional yang dibina secara bersama.
Kenyataan media bersama Hamzah dan Takiyuddin ini secara jelas, terang dan tanpa keraguan lagi adalah jawapan kepada segala kata dua dan seruan beberapa pihak dalam UMNO agar Pas menyatakan pendirian dan berani membuat pilihan.
Pas kini bukan saja menunjukkan komitmennya untuk bersama Bersatu dan PN bagi menghadapi PRU15 akan, malah di ketika UMNO telah memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, Pas sebaliknya mengambil pendirian mengukuhkan lagi hubungannya dengan Bersatu.
Tidak cukup dengan itu, Pas bersama Bersatu juga menolak sebarang bentuk penjajaran baru pasca PRU15, dan ini sekali lagi menunjukkan parti itu enggan bersama dengan Zahid Hamidi yang ketika berucap merasmikan PAU2020 telah menyatakan kesediaan UMNO untuk berunding dengan mana-mana parti selepas keputusan PRU diumumkan kelak.
Dalam erti kata lain, sementara tujuan UMNO memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah bagi memastikannya kembali dominan dan kemudian terbuka untuk berunding bagi membentuk kerajaan, Pas sebaliknya ingin membantu memastikan Bersatu kekal dominan melalui kerajaan PN.
Kesimpulannya, dengan komitmen Pas bersama Bersatu dan PN ini, Muafakat Nasional hanya sekadar istana pasir yang sudah pun boleh dianggap telah musnah dengan sendirinya sekarang ini.
Bagi Pas, tiada lagi MN dan tiada lagi UMNO sebagai rakan kongsinya, yang ada hanyalah Bersatu dan PN saja di hati mereka.
Untuk itu, tiada guna lagi dan hanya membuang masa saja jika UMNO masih mahu berharap dan terus mendambakan sisa cinta daripada Pas.
UMNO harus mula mengorak langkah sendiri bagi menghadapi PRU15 akan datang, sesuai dengan ketetapannya kekal menggunakan logo BN.
Bagaimana UMNO dan BN mahu memenangi PRU15 akan datang harus mula difikirkan mulai sekarang, tak kira sama ada mahu kekal bersendirian atau mewujudkan persefahaman dengan parti lain.
Tidak harus UMNO menoleh ke belakang kepada Pas lagi kerana segalanya sudah terang lagi bersuluh, Bersatu lebih menarik hati untuk didampingi oleh parti Islam tersebut berbanding UMNO yang belum ketahuan lagi nasibnya dalam PRU nanti.
Setidak-tidaknya, walaupun nasib bersama Bersatu turut tidak menentu, nikmat kemewahan dan laba dunia sudah pun dirasai bersama parti itu.
Tidak mustahil, Hadi Awang dan lain-lain pimpinannya selepas ini tidak akan memijakkan lagi kaki mereka ke Kompleks PWTC, bangunan milik UMNO yang selalu dikunjungi sejak dua tahun kebelakangan sebelum ini, dengan terakhir ketika PAU Ahad lalu.
Apa pun, begitulah liku-liku Pas, kahwin cerai kahwin cerai sudah jadi amalan biasa baginya.
(Shahbudindotcom 31/03/2021)