Kepincangan lebih besar guna Ordinan Darurat lulus belanjawan tambahan

 




POSTED BY AMIR WRLR

Cubaan menggunakan Ordinan Darurat untuk meluluskan belanjawan tambahan sebagaimana sedang diusahakan kerajaan Perkatan Nasional (PN) akan mendedahkan negara ke dalam kepincangan yang lebih besar.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, ordinan baharu yang diumumkan semalam dan mengkesamping kuasa Parlimen meluluskan perbelanjaan tambahan, hanya akan merosakkan keseimbangan kewangan negara serta menjauhkan pelabur dari Malaysia.

"Pengumuman pengenalan Ordinan baru membolehkan kerajaan melakukan perbelanjaan tambahan tanpa pertanggungjawaban kepada Parlimen seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan, mendedahkan Eksekutif kepada kepincangan yang besar.

"Ini terutama ketika data-data terkini mengenai kedudukan hutang, hasil dan pelaburan masuk dalam situasi pandemik Covid-19 tidak begitu jelas.

"Darurat tidak harus dijadikan alasan untuk mengelak pertanggungjawaban Eksekutif kepada badan Legislatif dan rakyat secara umumnya.

"Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab boleh dan mesti proaktif untuk menyalurkan maklumat serta menyediakan ruang dan cara supaya Legislatif boleh berfungsi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Amin lagi, peringatan oleh pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pertama, Friedrich Augustus von Hayek bahawa darurat atau kecemasan selalu menjadi alasan untuk menghakis perlindungan terhadap kebebasan individu telah semakin nyata dalam situasi terbaharu di Malaysia.

"Kenyataan ini kelihatan semakin tepat apabila pentadbiran PN pada hari ini terus memprorog Parlimen tanpa alasan kukuh ketika pelbagai sektor ekonomi telah dibuka hampir sepenuhnya," katanya.

Beliau memberi amaran bahawa ungkapan Perdana Menteri (PM) selepas bertemu dengan beberapa Menteri daripada Umno bahawa 'Kabinet akan berfungsi seperti biasa' perlulah diamalkan secara sejalan dengan hukum.

Katanya, PM harus sedar bahawa tanggungjawab Kabinet ialah kepada Parlimen, sebagaimana ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia




No comments: