Tempoh darurat lebih panjang? soal Guan Eng

 


Lim Guan Eng turut menyoal sama ada dengan ‘memancung’ kuasa kewangan Parlimen, perdana menteri membayangkan darurat dan penggantungan Parlimen akan berlanjutan.

PETALING JAYA: Pewartaan Ordinan Darurat baharu yang membenarkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa perlu melepasi Parlimen semasa tempoh darurat adalah petanda tempoh darurat berkemungkinan berlanjutan melangkaui 1 Ogos, kata Lim Guan Eng.

Bekas menteri kewangan itu menyifatkan pewartaan ordinan baharu itu sebagai satu jenaka “April’s Fool” yang kejam terhadap demokrasi dan sesuatu yang tidak perlu sekiranya darurat berakhir seperti dijadualkan.

“Kelulusan Parlimen bagi belanjawan tambahan boleh ditangguhkan mengikut undang-undang sehingga akhir tahun ini.

“Ini bermaksud segala belanjawan tambahan untuk perbelanjaan tambahan yang dibuat masih dapat diluluskan oleh Parlimen ketika darurat berakhir dan Parlimen dibuka semula selepas 1 Ogos 2021,” kata setiausaha agung DAP itu.

Beliau turut menyoal sama ada dengan “memancung” kuasa kewangan Parlimen, perdana menteri membayangkan darurat dan penggantungan Parlimen akan dilanjutkan melepasi 1 Ogos 2021.

Ordinan itu menghapus kebertanggungjawaban yang diberikan oleh Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Bagan itu, dengan menyebut pengurangan anggaran Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) daripada RM85.5 juta menjadi RM40.5 juta semasa perbahasan belanjawan yang lalu sebagai contoh pentingnya wacana dan perbahasan.

Katanya, jika dana tambahan memang diperlukan untuk memerangi Covid-19, tidak ada keperluan untuk memintas Parlimen kerana pembangkang kemungkinan menyokong peningkatan perbelanjaan tersebut.

“Tanpa pengawasan Parlimen, ada risiko tinggi bahawa setiap perbelanjaan baharu yang dibuat oleh kerajaan ini tidak akan dipertanggungjawabkan dengan baik, terutama bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya kroni.”