Lindungi pekerja gig, mantapkan Akta Persaingan Ekonomi 2010 elak monopoli

 



POSTED BY AMIR WRLR


Perkembangan baharu Revolusi Industri 4.0 yang menjalar ke Malaysia yang telah mewujudkan beberapa bidang pekerjaan baharu menggunakan platform perkhidmatan atas talian seperti Grab dan sebagainya memerlukan Akta Persaingan Ekonomi 2010 dimantap dan diperkasakan.

Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir, perkembangan ekonomi gig yang dilihat sebagai model baru ekonomi perlu dipantau kerajaan secara dekat bagi memastikan ianya berjalan secara sihat dan tidak mengheret persekitaran ekonomi negara ke arah amalan monopoli.

Katanya, beliau menyambut baik pandangan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen sewaktu forum webinar dengan topik “Policy Monday: Labour Market Trends – Gig Economy” baru-baru ini yang meluahkan kerisauan mereka terhadap situasi semasa yang dilihat berpotensi membuka ruang monopoli kepada sesetengah pihak dengan merujuk kepada platform seperti Grab.

"Ekonomi gig secara tidak langsung menyuburkan sistem ekonomi secara kapitalisme dan membuka ruang sepenuhnya kepada pihak-pihak pemodal untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka tanpa diganggu oleh kerajaan.

"Tidak dinafikan syarikat-syarikat yang dimaksudkan ini mempunyai kelebihan dan memanfaatkan sepenuhnya peluang sebagai penggerak pertama, namun ianya masih tidak boleh lari daripada risiko berlakunya amalan monopoli yang tidak terkawal dan berpotensi menjadi krisis yang besar di masa hadapan.

"Oleh sebab itu, kerajaan wajar melaksanakan kajian susulan terhadap Akta Persaingan 2010 bagi memastikan tiada kelompongan yang boleh dimanipulasi oleh pemain industri untuk tujuan monopoli dalam perniagaan," kata Akmal dalam satu kenyataan.

Selain itu, kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, kerajaan juga perlu memastikan industri gig ini mampu memberi perlindungan sebaiknya kepada pekerja-pekerja yang terlibat.

"Buat masa ini, pekerja ekonomi gig perlu mendaftar sendiri di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan menurut data yang diperoleh setakat Ogos 2020, jumlah yang berdaftar dengan PERKESO hanyalah sekitar 7 peratus daripada 400,000 individu yang terlibat dalam ekonomi gig di Malaysia.

"Oleh itu kerajaan perlu membuat penambahbaikan dalam hal ini kerana pekerja ekonomi gig juga turut terdedah dengan risiko kemalangan yang tinggi," katanya.

Justeru, Akmal berharap kerajaan menggerakkan usaha mengekang risiko amalan monopoli dengan mengkaji undang-undang sedia ada serta memperkemas inisiatif semasa bagi melindungi pekerja ekonomi gig yang perlu diletakkan sebagai sebahagian daripada keutamaan kerajaan untuk disegerakan.



No comments: