POSTED BY AMIR WRLR
Pasca Perhimpunan Agung Umno sekutu rapat dalam Muafakat Nasional
(MN), Pas, diberi kata dua sama ada bersama Umno atau Perikatan Nasional (PN)
selepas Bersatu tidak lagi dianggap rakan kongsi
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, Umno tidak perlu menunggu lama untuk mendapat jawapan daripada pilihan itu. Katanya, lebih mudah sekiranya Umno mengkaji sejarah hubungan pahit KEADILAN dan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) suatu masa dahulu.
Menurut Syed Ibrahim, ketika PR mahu menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri (PM) dalam Pilihan Raya Umum 2013 - yang telah dipersetujui DAP - tiba-tiba Pas tanpa berbincang menamakan Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) yang berada di dalam Umno sebagai calon PM.
"Kita ada pengalaman dengan Pas. Masa dalam Barisan Alternatif dan PR. Kalau saya ingat sebelum PRU 13, PR setuju untuk calonkan Anwar sebagai PM. Namun sebulan sebelum Parlimen bubar, Ku Li pula yang dicalonkan.
"Alasannya Ku Li dapat sokongan Sabah Sarawak, dapat sokongan Majlis Raja-raja, dapat sokongan bukan Melayu dan orang muda. Anwar tak dapat. Tetapi perkara ini tidak dibincangkan dalam PR. Pas berunding terus dengan Ku Li. Ini keputusan siapa? Adakah Dewan Harian, Jawatankuasa Pas Pusat atau Muktamar? Bukan keputusan daripada jawatakuasa tersebut, tetapi keputusan presiden.
"Di sinilah saya percaya mesti ada kewaspadaan. Saya rasa Umno pun tahu. Mereka ada pengalaman dengan Pas. Umno pun pernah dalam kerajaan Perikatan bersama Pas tahun 1974.
"Itu dulu, sekarang lain. Namun Umno dan Bersatu kena waspada dengan Pas. Semua yang datang daripada mesyuarat (Pas) tidak semestinya keputusan bersama. Kita telah melaluinya, keputusan yang berlaku adalah keputusan presiden," katanya dalam siaran langsung Facebook StudioKini AsamPedas bertajuk, "Pas Menyokong PN, bukti MN berpecah", malam tadi.
Menurut Ahli Parlimen Ledang itu lagi, Pas mempunyai sejarah panjang dalam hubungan dengan banyak parti politik di Malaysia dan sebahagian daripadanya berakhir dengan kegagalan
Katanya, tindakan Pas yang oportunis menyebabkan parti itu kurang dipercayai oleh sekutunya.
"Apakah tindakan Pas itu play safe atau 'main banyak kolam'? Saya setuju. Bukan sahaja tindakan play safe tetapi ini tindakan oportunis, parti oportunis. Strategi untuk utamakan kepentingan diri sendiri. Kalau ada orang tanya bukankah parti politik oportunis? Saya kata sebagai parti politik kita juga mencari kesempatan, peluang.
"Tetapi mesti ada sandaran prinsip dan dasar. Kalau tengok Pas ini mereka nak kukuhkan hubungan dengan Umno (MN) kerana parti Melayu terbesar. Kemudian dia pertahan hubungan dengan PN kerana kuasa dalam kerajaan.
"Bagi saya, kita nak kata play safe, oportunis, dua kolam, itu adalah penjenamaan. Soal kedua yang lebih penting apakah prinsip atau dasar Pas?
"Kalau kita tanya orang Pas mereka kata ini sejajar dengan prinsip penyatuan umah. Duduk bersama semua pihak menyatukan Islam, itulah asas dan prinsip, ada piagam MN dengan Umno.
"Namun bagaimana mereka menghayati atau menghormati piagam ini? Ini soalan besar. Dia kata dasar Islam, penyatuan umah. Apakah apabila rakyat hilang kerja, atau kena banjir tiba-tiba peruntukan untuk beli kenderaan mewah diluluskan. Ini berlaku di satu negeri di Malaysia. Bagi saya ini bukan nilai Islam. Kalau dasar dia berpegang kepada Islam dia tak akan lakukan perkara itu," katanya.
Syed Ibrahim juga membidas dasar Pas konon menyatukan umah atau menjadi 'orang tengah' untuk Umno dan Bersatu berbaik-baik.
Hakikatnya, menurut beliau, Pas hanya mahukan kuasa dan membenarkan perlakuan songsang kerajaan PN menguatkuasakan darurat serta menggunakan alasan Covid untuk kekal memerintah tanpa majoriti.
Malah, katanya, hubungan bersama Umno juga semakin tidak penting bagi parti itu
"Apakah Pas akan pertahan hak Umno dalam PN? Sekarang ini mereka bergaduh, sorang kata dia sebenarnya menjalankan tanggungjawab sebagai orang tengah, semua berbaik-baik. Hakikatnya dalam politik tak ada musuh kekal, soalan besar ialah bagaimana kejujuran politik?
"Bila kita nak uji macam mana ia boleh dilaksanakan dengan betul maka kita kena tanya kejujuran politik. Apakah selari dengan dasar dan kejujuran apabila Pas berselindung di sebalik Covid 19 dan darurat untuk halang Parlimen bersidang?
"Di sini bagi saya timbul masalah mengenai kejujuran Pas. Bagi saya Pas sedar mereka memperolehi kedudukan terbaik selagi bersama Umno dalam MN dan mereka peroleh kedudukan terbaik dalam kerajaan selagi bersama PN.
"Di pihak lain, Umno dan Bersatu bersaing, berebut kuasa termasuk Ketua Kampung, seperti di Johor. Ketua Kampung hampir semua dipenuhi oleh Umno. Orang Bersatu marah. Bagi saya ini satu perkara yang diambil kesempatan oleh Pas," katanya.
Menurut Syed Ibrahim lagi, hubungan Umno dengan Pas dalam MN tidak akan pergi lebih jauh. Malah sudah sampai ke tahap curiga mencurigai antara satu sama lain. Hanya menunggu masa salah satu parti akan pecah dan masing-masing akan mencari kawan baharu dalam PRU 15.