Suami, anak Zeti dipanggil berkait dakwaan dana 1MDB, kata polis

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Zainuddin Yaacob menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan polis selesai. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sudah mengambil keterangan Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana dikaitkan dengan 1MDB.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Zainuddin Yaacob berkata, salah seorang anak lelaki Tawfiq juga hadir merakam percakapan kepada polis.

“Beliau (Tawfiq) dipanggil untuk dirakam percakapan (selama beberapa jam) bersama anak lelaki beliau bagi membantu siasatan polis.

“Rakaman percakapan itu diambil di Menara KPJ, Jalan Tun Razak bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya kepada Bernama.

Zainuddin berkata, memandangkan siasatan polis dalam kes ini masih berterusan, masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan selesai dan seterusnya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Bulan lepas, Bernama melaporkan polis mengesahkan siasatan ke atas Tawfiq berhubung dakwaan penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura masih berterusan.

Sebelum ini, Zeti dilapor menafikan dakwaan keluarganya terbabit dalam skandal 1MDB.

Zainuddin dilaporkan berkata, memandangkan siasatan kes ini melibatkan keterangan di Malaysia dan juga di luar negara, polis mengambil tindakan susulan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan individu di luar negara.



No comments: