Menteri semua syok tidur, sampai tak sedar harga barang melambung naik

 


Menteri semua syok tidur, sampai tak sedar harga barang melambung naik


1. Harga ayam segar di beberapa buah negeri menunjukkan kenaikan antara 50 sen dan RM1.00. Kebanyakan peniaga mengambil kesempatan menjelang bulan Ramadan dan Syawal kali ini untuk mengaut keuntungan lebih daripada biasa. Ada yang menjual dengan harga RM9.50 sekilogram. Hal ini sangat membimbangkan kerana kenaikan harga yang ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini.

2. Menteri dan timbalan menteri yang ‘tidur’ dan masih tiada langkah proaktif membuktikan bahawa ini adalah sebuah kabinet dan #KerajaanGagal serta tidak peduli dengan nasib rakyat. Rakyat bukan sahaja ditekan dengan pelbagai SOP yang ketat, bahkan di sesetengah negeri seperti Kelantan langsung tidak dibenarkan untuk berniaga di bazaar Ramadan. Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Sudahlah tidak mempunyai peluang untuk mencari rezeki, harga bahan mentah pula melambung tinggi.

3. Bertambah malang buat rakyat apabila Menteri KPDNHEP dalam kenyataan sebelum ini menafikan wujudnya kenaikan harga bahan mentah ini. Ironinya, tinjauan media mendedahkan bahawa wujud kenaikan harga di beberapa negeri. Lantas kita menggesa agar menteri yang bergaji besar itu segera bangun dari ‘tidur’ dan laksanakan satu mekanisme kawalan harga secepat mungkin. Bingkas turun padang dan lakukan pemeriksaan di seluruh negara.

4. Seandainya #KerajaanGagal ini kekeringan idea, cedok mekanisme yang telah digunapakai ketika Pakatan Harapan mentadbir pun tiada masalah. Diletakkan kebertanggungjawaban langsung bawah Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, majlis ini berperanan mengkoordinasi kementerian-kementerian yang terlibat dalam memastikan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) benar-benar dilaksanakan dan harga barangan terkawal.

4. Kerajaan juga harus memastikan bekalan bahan mentah dan keperluan harian mencukupi menjelang Syawal serta tiada kenaikan harga barangan yang membebankan. Kebajikan rakyat wajib menjadi perhatian utama kerajaan dalam tempoh masa sekarang. Rakyat sudah acap kali menjadi mangsa dengan pelbagai peraturan dan kompaun yang tidak berasas. Jangan dibiarkan rakyat terus merana dengan kenaikan harga barangan lagi.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN)
Ketua Pemuda AMANAH Nasional



No comments: