BERPUASA HAK ORANG ISLAM, RAKYAT HARUS TEGAS TOLAK BUDAYA KEBENCIAN AGAMA


 1. Seorang majikan didakwa memukul 2 pekerja muslim kerana berpuasa wajib di bulan Ramadhan. Kita sudah hidup pada tahun 2021, masih ada majikan kuno yang hidup di zaman batu menghalang hak warganegara mengamalkan tuntutan agamanya. Ia diburukkan dengan profiling kaum yang sudah menjadi budaya di Malaysia.

2. Artikel 3 Perlembagaan jelas menyebut Islam Agama Persekutuan dan Agama lain bebas untuk diamalkan. Apakah majikan ini tidak sedar dia hidup di bumi bernama Malaysia? Islam adalah teras tegak berdirinya negara ini, apakah majikan ini masih di alam lain?

3. Sesiapa sahaja yang menghalang hak kebebasan beragama perlu memahami juga artikel 11 yang menjamin hak kebebasan beragama. Betapa banyak kes sebelum ini yang dibawa dari pengadu untuk mempertahankan hak ini di mahkamah, malah ada yang menang.

4. Rakyat Malayisa harus hidup dalam mempertahankan dua perkara ini iaitu Islam Agama Persekutuan dan Kebebasan Beragama. Sesiapa yang hilang hormat pada 2 asas ini adalah penceroboh yang perlu ditentang dan diadili, jika bersalah dikenakan hukuman setimpal.

5. Biarlah saya jelaskan di sini, jika non Muslim sekali pun dinodai haknya untuk beramal dengan agamanya, semua rakyat Malaysia tanpa prejudis kaum dan agama harus mempertahankan hak kewarganegaraan ini sebagai tanda kesetiaan kita memenuhi rukun negara.

6. Tak perlulah saya jelaskan sikap Islam dan Syariat yang sangat tegas mempertahankan prinsip hidup dengan amalan hormat agama masing-masing.

‘Lakum dinukum wa liyaddin’

‘La ikraha fiddin’

7. Ini lah masanya rakyat Malaysia menunjukkan ketegasan kita terhadap budaya kebencian antara agama jika benar motivasi tertuduh adalah atas kebencian agama. Dalam nafas yang sama kita orang Islam harus punya sikap tanpa prejudis jika penganut agama lain diperlakukan perkara yang serupa.

Yakinlah kehidupan yang aman dan damai antara berbagai agama dan kaum di dunia terbina atas Prinsip Keadilan yang sifatnya buta warna. Pada waktu yang sama hentikan prejudis sosial dan politik identiti kaum dan agama yang sempit dan destruktif.

و ما ارسلناك الا رحمة للعالمين

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH

Ahli Parlimen Parit Buntar

15 April 2021.






No comments: