Cubaan tangguh Undi 18, PN takut suara anak muda?
Had umur mengundi telah diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 lalu.
Sebarang usaha untuk menangguhkan pelaksanannya, menurut Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin merupakan penghinaan kepada Perlembagaan itu sendiri.
“Percubaan menangguhkan #Undi18 adalah penghinaan Parlimen dan Perlembagaan.
“Ingat, Parlimen telah luluskan pindaan perlembagaan dengan sebulat suara!
“#Undi18 adalah janji Manifesto PH yang menjanjikan reformasi demokrasi dengan memberi suara kepada anak muda menentukan masa depan negara.
“#Undi18 adalah satu kejayaan bi-partisan dalam Parlimen dan satu kejayaan bersejarah kerana tak pernah ada pindaan Perlembagaan mendapat sokongan sebulat suara,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Pengarah Strategi KEADILAN itu, had undi 18 tahun adalah percubaan Malaysia untuk mengikut arus semasa hak asasi manusia.
Katanya, kebanyakan negara demokrasi di dunia mempraktikkan hak kepada rakyat yang berumur sedemikian untuk memilih kerajaan, sesuai dengan umur kematangan manusia.
“#Undi18 sejajar dengan perkembangan demokrasi dunia, memberi kuasa undi kepada golongan anak muda. Di rantau Asia, Malaysia adalah beberapa negara yang terakhir beri kuasa tersebut.
“Maka, apabila saya dengar ada pemimpin muda dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba menangguhkan #Undi18, saya amat sedih,” katanya.
Beliau juga menempelak pemimpin PN lebih veteran yang seolah-olah bersetuju agar Undi 18 tidak dilaksanakan di negara ini, sedangkan ketika bersama-sama PH dahulu mereka bersetuju melakukannya.
Sehubungan itu, Sim menggesa anak muda Malaysia tegas menuntut hak mereka mengundi apabila masuk umur 18 tahun.
“Pemimpin muda PN patut memperjuangkan hak dan kebebasan orang muda, bukan cuba menolak hak anak muda. Bertaubatlah.
“Saya menyeru semua anak muda bangkit menuntut hak mengundi #Undi18! ” katanya lagi.
Baru-baru ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berpendapat pindaan terhadap perlaksanaan Undi 18 merupakan satu tindakan tergesa-gesa dan tidak masuk akal kerana tidak yakin anak muda harus membuat keputusan seawal usia 18 tahun.
Kenyataannya dikecam banyak pihak dan disifatkan cuba bermain politik menidakkan kuasa anak muda ditengah-tengah ketidakpopularan kerajaan PN.