MUHYIDDIN TERUS DIKECAM DAN DITOLAK, DIPOHON AGONG PANGGIL ANWAR MENGADAP BUAT KALI TERAKHIR

 

Apa yang disebut semalam oleh Tun Mahathir Mohamad berkenaan apa yang didakwanya sebagai salah laku Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam mencadangkan darurat diisytiharkan sebenarnya bukanlah perkara baru.

Dakwaannya Muhyiddin tiada keabsahan, Muhyiddin sudah hilang majoriti, darurat bertujuan politik dan untuk mengekalkan kuasa Perdana Menteri, darurat menyimpang daripada tujuan melawan Covid19, Muhyiddin gagal melonjakkan ekonomi, darurat menakutkan pelabur, darurat menjadikan Muhyiddin sangat berkuasa dan lain-lain lagi, semuanya adalah perkara-perkara yang sudah pun diketahui umum sebelum ini.

Semua perkara itu bukan saia disebut banyak kali oleh beberapa pemimpin PH, malah tidak dihenti-henti diungkapkan oleh ramai penulis dalam pelbagai medium media sosial.

Lebih daripada itu, Anwar Ibrahim sendiri atas mandat yang diberikan PH telah pun mengemukakan saman terhadap Muhyiddin atas tindakannya yang dipercayai memberi nasihat salah dan ketika tiada lagi sokongan majoriti untuk mencadangkan darurat kepada Yang Dipertuan Agong.

Ringkas cerita, apa yang disebut Tun Mahathir semalam itu bukanlah benda baru yang menarik perhatian sepertimana ramai tertarik melihat Rina Harun yang sudah kurus berbanding tubuhnya agak gempal sebelum itu.

Begitu pun, yang mustahak di sini ialah kedudukan Muhyiddin yang tiada lagi keabsahan, ditolak dan sepatutnya meletakkan jawatan adalah suatu hakikat yang tidak boleh lagi dinafikan.

Dalam erti kata lain, selagi Muhyiddin kekal dengan kedegilannya enggan berundur, selagi itulah kedudukannya tidak diterima, makin dibenci dan menyebabkan negara terus terjerumus ke dalam pelbagai ketidaktentuan yang akhirnya rakyat akan menanggung susah serta deritanya.

Apabila ekonomi tidak berkembang, pelabur melarikan diri dan dunia perniagaan kian terhimpit, yang susah nak makan dan mungkin antaranya memilih untuk membunuh diri, semuanya adalah golongan marhaen dan bukan mereka yang tinggal di Bukit Damansara, Bangsar atau seumpamanya.

Untuk itu, kekalutan ini mahu tidak mahu, harus ditangani serta diselesaikan segera dan dalam situasi terburuk seperti sekarang di mana kita ada seorang Perdana Menteri yang degil enggan berundur, walau sudah hilang sokongan, sebaliknya mencadangkan darurat untuk mengekalkan kuasanya, harapan yang tinggal hanyalah kepada Agong selaku payung dan ketua negara sebagai sandaran yang ada.

Adalah sangat-sangat dipohon agar Agong dapat melihat dan meneliti bagaimana Muhyiddin sebenarnya sudah ditolak rakyat dan luahan suara penolakan itu malah sudah merebak jauh hingga ke laman sosial Istana Negara serta Presiden Indonesia.

Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Terutama luahan rakyat di media sosial Istana Negara, secara tersiratnya ia adalah permintaan serta bagaimana rakyat menaruh harapan yang tinggi agar Agong dapat berbuat sesuatu dengan segera.

Dalam hal ini, dengan kedudukan Muhyiddin yang tiada lagi majoriti, jika diimbas kembali, Anwar sudah beberapa kali memohon untuk mengadap Agong bagi mempersembahkan majoriti yang dimilikinya.

Kali pertama beliau memohon mengadap, ia tertangguh agak lama berikutan Agong dimasukkan ke IJN kerana menerima rawatan.

Kemudian, setelah Agong pulih, baginda telah menerima Anwar untuk mengadap bagi mempersembahkan maklumat berkaitan sokongan yang dimiliknya.

Dalam majlis mengadap itu, Anwar difahamkan telah mempersembahkan surat sokongan serta Akuan Bersumpah atau SD Ahli Parlimen yang didakwa Ketua Pembangkang itu sedia menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Sepatutnya, selepas itu ia disusuli dengan majlis mengadap beberapa ketua parti yang didakwa sedia menyokong Anwar itu.

Tetapi oleh kerana ancaman Covid19 didapati mengancam semula, ia ditangguhkan walaupun pada peringkat awalnya beberapa ketua parti telah ditetapkan tarikh dan masa untuk mengadap Agong.

Sehinggalah pada 3 Januari baru-baru ini, Anwar memaklumkan beliau sekali lagi telah mengutus surat kepada Agong untuk mohon mengadap berhubung sokongan yang dimilikinya bagi membentuk kerajaan baharu.

Anwar berkata, kini segala-galanya terpulang kepada budi bicara Agong.

“Ini proses terus. Saya sudah hantar warkah kepada Agong. Agong baru habis kuarantin (baru kembali daripada lawatan rasmi ke Dubai)

“Itu budi bicara Agong. Jadi saya tak mahu komen lebih daripada itu,” tambah Anwar lagi.

Kemudian UMNO bahagian-bahagian meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu dan diikuti dengan dua Ahli Parlimen UMNO, Ahmad Jazlan Yaakob dan Nazri Aziz mengumumkan menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Muhyiddin pula, berdepan gugatan itu, atas alasan kes Covid19 makin meninggi, bukan saja mengumumkan PKP dilaksanakan semula, malah diikuti dengan nasihatnya kepada Agong agar darurat dikuatkuasakan.

Apa yang berlaku seterusnya, penolakan demi penolakan terhadap Muhyiddin tambah membesar serta boleh didengar dan dikesan di merata-rata di seluruh negara lantaran selain tiada sebarang tindakan dilakukan dibawah undang-undang darurat untuk menangani Covid19, pengumuman tentang anggota jawatankuasa bebas darurat juga hanya dibuat hampir sebulan selepas darurat diumumkan.

Rakyat akhirnya benar-benar sedar darurat ini dicadangkan Muhyiddin semata-mata untuk melindungi kuasnya yang hampir terlucut.

Berdepan rentetan semua peristiwa itu, diikuti keadaan negara tambah memburuk, apa yang sangat-sangat dipohon daripada Agong sekarang ialah agar baginda dapat menerima Anwar untuk mengadap sekali lagi atau buat kali terakhir bagi menutup segala kemelut dalam negara ini.

Selepas Anwar dipanggil mengadap, seterusnya baginda bolehlah pula memanggil mengadap ketua-ketua parti dan beberapa Ahli Parlimen yang didakwa menyokong Pengerusi PH itu.

Jika melalui majlis mengadap oleh Anwar dan ketua-ketua parti itu terbukti akhirnya beliau memiliki sokongan majoriti, semoga ini merupakan cara penyelesaian terbaik untuk menyelesai segala kekalutan serta ketidaktentuan yang sudah berpanjangan sekian lama ini.

Kiranya Anwar gagal membuktikan sokongan yang dimiliknya melalui majlis mengadapnya serta ketua-ketua parti yang dipanggil mengadap itu, Muhyiddin dengan sendirinya selepas itu tidak boleh dipertikaikan lagi kedudukannya.

Malah Agong boleh menutup terus pintu Istana Negara untuk Anwar mengadap lagi sehinggalah tibanya tarikh PRU15 diadakan.

Oleh kerana Parlimen sudah digantung bersekali dengan darurat yang dinasihati oleh Muhyiddin, harapan hamba rakyat seluruh negara sekarang ini hanyalah kepada Agong saja sebagai payung negara untuk menyelesaikan segala masalah yang pada hakikatnya berpunca daripada hanya satu perkara – Perdana Menteri tiada majoriti dan telah hilang keabsahannya.

Daulat Tuanku!!! 

(Shahbudindotcom 16/02/2021)





No comments: