Pegawai MITI letak jawatan, akan saman bekas KSN dan isteri

 


Mohd Ezuwan Hassan meletak jawatan dari MITI selepas 19 tahun berkhidmat.

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam mendakwa pengalaman mengatasi jangkitan Covid-19 memberikannya motivasi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, hingga membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) atasan tindakan “memecatnya”.

Mohd Ezuwan Hasan, yang menjawat tugas sebagai Pengarah (Pentadbiran) Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dia turut bertindak meletak jawatan daripada perkhidmatan awam hari ini, selepas 19 tahun menabur khidmat dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap isteri kepada bekas KSN itu, atas tindakan memfitnah dan menghina bapanya, yang turut menjawat tugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di sebuah kementerian lain sebelum ini.

Menerusi kenyataan media, Ezuwan berkata bapanya Hassan Jantan “dipecat” oleh seorang bekas menteri selepas bertindak membantah hasrat kerajaan pada ketika itu untuk menjual tanah sebuah kementerian yang terletak di Sungai Besi kepada pihak ketiga dengan harga nominal.

“Arwah bapa kemudiannya diletakkan dalam “pool” di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disebabkan pendirian tersebut. Beliau meninggal dunia pada 14 Januari 2014, lima bulan sebelum persaraan,” katanya.

“Pool” dimaksudkan dilihat sebagai tempat ‘pembuangan’ bagi kakitangan awam yang tidak mematuhi arahan.

Ezuwan berkata, dirinya yang juga salah seorang pegawai PTD yang bertugas di bawah bekas KSN turut “dipecat” akibat mempertikaikan isu-isu seperti 1MDB, kehancuran institusi KSN, campur tangan pihak luar dalam isu melibatkan integriti, selain pemilihan dan kenaikan jawatan berdasarkan pilih kasih.

Dia turut mendakwa berlaku campur tangan pihak ketiga termasuk oleh isteri bekas KSN berkenaan.

Ketika dihubungi FMT, Ezuwan mengesahkan bahawa kenyataan medianya itu sebagai sahih dan menyifatkan pengalaman bertarung nyawa melawan Covid-19 pada Januari lalu memberikan perspektif baharu untuk menegakkan keadilan serta kebenaran.

“Setelah beristiqomah, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas KSN itu kerana “pemecatan konstruktif” dan isterinya kerana memfitnah dan menghina arwah bapa saya melalui peguam yang akan saya lantik dari Gani Patail Chambers,” katanya.

Menurutnya, tindakannya meletakkan jawatan dan bersara awal dalam perkhidmatan awam dapat membantunya memberi fokus dalam kes perundangan tersebut, selain turut terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan yang akan diceburinya kelak.

FMT tidak dapat mendedahkan nama-nama individu yang disebut dalam kenyataan berkenaan, sementara menunggu maklum balas mereka.



No comments: