BOB KELANANG
DOK TAK DOK HADI BEWOK BATAL SAMAN...
Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi bin Awang, “dok
tak dok” tarik balik kes saman malunya terhadap Ketua Pengarang Sarawak Report,
Clare Rewcastle Brown. Abdul Hadi saman Clare Brown kerana dalam ulasan
bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB Let’s Not Forget His Many Other
Criminal Connections” di mana, antara lain, disebutkan bahawa bekas Perdana
Menteri itu cuba "memikat" Pas dengan sogokan RM90 juta.
Masa Pas Abdul Hadi mengemukakan saman sivil itu, saya sudah
berasa ada sesuatu yang tidak betul dan tidak masuk akal. Maksudnya, macam mana
sebuah parti yang mendakwa menegakkan Islam dan bercita-cita mendirikan “Daulah
Islamiah” (Negara Islam) sanggup pergi ke negara kafir dan guna undang-undang
yang tidak islamik untuk menebus maruah beliau yang tercemar?
Masa Abdul Hadi kemukakan saman itu, banyak orang kata mereka
akan lebih percaya Pas tidak terima rasuah itu kalau beliau bersumpah di masjid
dengan nama Allah dan Al Quran. Tetapi Abdul Hadi dan para penasihat beliau
memilih untuk menebus maruah dan nama baik parti mereka di mahkamah sebuah
negara bukan Islam – negara kafir.
Mereka begitu yakin sehingga sanggup membelanjakan wang yang
sangat banyak untuk membayar upah peguam dan belanja mahkamah. Percaya dengan
tindakan ketua nombor satu mereka maka ahli dan penyokong Pas dengan murah hati
menderma, dikatakan sampai RM2.1 juta, untuk membiayai saman di negara kafir
itu. Sekarang tiba-tiba Abdul Hadi batalkan saman itu dan kononnya akan
diselesaikan di luar mahkamah.
Perintah persetujuan mahkamah London bertarikh 1 Februari
berkata bahawa yang menuntut (Honourable Abdul Hadi MP) dan defendan (Claire
RewCastle Brown) bersetuju Abdul Hadi memberhentikan tuntutan, defendan (Claire
Brown) memberhentikan tuntutan balas dan tidak ada perintah mengenai kos.
Maksudnya Abdul Hadi batal saman ke atas Claire Brown dan Claire
Brown batal saman balas ke atas Abdul Hadi. Tidak ada perintah mengenai kos
atau ganti rugi. Maka mulai sekarang apa yang berlaku di antara Abdul Hadi
dengan Claire Brown mengenai dakwaan rasuah RM90 juta itu bukan lagi pengadilan
mahkamah tetapi perundingan antara peguam. Sekiranya dan apabila penyelesaian
dicapai, ia bukanlah penyelesaian mahkamah tapi sekadar hasil rundingan di
antara peguam Abdul Hadi dengan Claire Brown.