Hentikan intimidasi melampau ke atas Anwar Ibrahim - MPN Melaka

 

Ancaman untuk menyiasat Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas tuduhan cuba menghasut rakyat menolak darurat merupakan intimidasi melampau ke atas Ahli Parlimen yang melakukan proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi.



Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Datuk Halim Bachik, tindakan membuka kertas siasatan itu tidak akan merubah kenyataan bahawa majoriti anggota Dewan Rakyat telah menghantar warkah kepada Yang di-Partuan Agong memohon dikaji semula pelaksanaan darurat.



"Kenyataan Menteri Dalam Negeri tentang siasatan yang akan dijalankan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa individu lain mengesahkan Kerajaan berada dalam keadaan yang amat terdesak untuk mempertahankan kuasa.



"Datuk Seri Anwar merupakan tokoh yang berpegang teguh kepada Perlembagaan, serta melaksanakan tugas dengan penuh kesetiaan di samping memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan dan negara.



"Dengan tindakan desperado yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional ini, rakyat sudah pasti dapat mengandaikan bahawa tindakan yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri didorong perasaan cemas dan takut kehilangan jawatan maka taktik ugutan adalah menjadi pilihan," katanya dalam satu kenyataan.



Sehubungan itu, Halim mengingatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya menghentikan pencemaran profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan arahan-arahan bagi kepentingan kedudukan politik PN semata-semata.



"Menteri Dalam Negeri disaran untuk meneliti dan memahami makna ehsan dan kebijaksanaan seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam warkah kepada Baginda untuk menimbangkan pembatalan darurat. Nasihat yang dipersembahkan kepada YDPA oleh Perdana Menteri kini jelas terbukti, meletakkan kepentingan kedudukan politik mereka jauh lagi tinggi dari kepentingan rakyat yang dalam kepayahan menghadapi wabak Covid-19.



"Mewakili keluarga besar KEADILAN Negeri Melaka, saya menyeru seluruh pendokong KEADILAN dan pencinta kebenaran untuk mendesak kerajaan memulihkan demokrasi di Malaysia dari terus dicemari oleh pemain politik yang mabuk kuasa dan berselindung di sebalik darurat.

"Mandat rakyat harus dikembalikan kepada yang hak, ketidakadilan harus ditolak!" katanya lagi.