AHHH… PATUT PUN UMNO SELAMA INI KENA BULI DENGAN BERSATU!!

 

Pemotongan peruntukan oleh kerajaan PN terhadap enam Ahli Parlimen UMNO, selain menyerlah hakikat bahawa Muhyiddin Yassin tiada lagi majoriti kerana ternampak beliau tidak lagi memerlukan sokongan mereka dengan meletakkan wakil rakyat tersebut bersama blok pembangkang, ia juga menunjukkan sifat zalim dan dendam sebuah kerajaan yang mendakwa berteraskan Melayu dan Islam.

Sifat dendam dan zalim itu memang tidak boleh diterima kerana wakil rakyat tersebut bukan saja merupakan sebahagian daripada kerajaan, malah UMNO adalah blok Ahli Parlimen terbesar yang menjadikan Muhyiddin merasa duduk di kerusi Perdana Menteri.

Sementara tindakan kerajaan PN itu barangkali memang suatu penyakit yang memang tidak boleh diubati lagi lantaran kelompok pencatur kuasa dalam PN ini adalah golongan pengkhianat dalam pelbagai konteks, persoalan lebih penting ialah apakah tindak balas UMNO terhadap pemotongan peruntukan itu?

Berkaitan soal ini, pertama sekali, dari segi UMNO secara keseluruhannya dan Ahmad Zahid Hamidi sendiri selaku Presiden parti, apakah beliau hanya mampu bercakap saja?

Apakah memadai dengan Presiden UMNO sekadar mendedahkannya saja melalui media, kemudian menyindir serta mengungkit sokongan yang diberikan kepada kerajaan ketika pengundian Belanjawan 20211, lalu berharap Muhyiddin akan berubah hati?

Kenapa tidak dibalas dengan tindakan yang lebih keras terhadap Muhyiddin, sesuai dengan kedudukan UMNO yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam kerajaan PN?

Apa guna jadi majoriti atau kelompok terbanyak jika masih rela dibuli oleh mereka yang minoriti?

Mengapa Ahmad Zahid masih terhegeh-hegeh dan lambat untuk bertindak balas, walhal pemotongan peruntukan itu adalah suatu penganiayaan kepada rakyat di enam kawasan Parlimen berkenaan yang turut membayar cukai yang sama seperti pengundi di kawasan lain yang diberikan peruntukan penuh untuk pembangunan?

Apa yang beliau tunggu atau takutkan lagi?

Sebagaimana disebut Ahmad Zahid dua hari lalu, lima Ahli Parlimen yang dipotong peruntukan untuk kawasan Parlimen masing-masing itu ialah dirinya sendiri, Najib Razak, Ahmad Maslan, Nazri Aziz dan Ahmad Jazlan Yaakob di mana mereka hanya diberikan peruntukan RM100 ribu bagi tahun 2021 berbanding RM3.7 juta untuk Ahli Parlimen kerajaan yang lain.

Tengku Razaleigh Hamzah yang turut termasuk dalam kelompok dipotong peruntukan itu, bagaimanapun dilaporkan langsung tidak diberi walau satu sen pun kewangan untuk kawasan Gua Musang yang diwakilinya.

Yang keduanya, apa perasaan Ahli Parlimen UMNO yang ada kedudukan dalam kerajaan apabila melihat kezaliman di depan mata oleh kerajaan yang mereka berada di dalamnya terhadap enam rakan parti sendiri itu?

Apakah mereka hanya mampu berdiam diri saja, lantaran lebih sayang dan ingin menjaga kedudukan sebagai menteri dan timbalan menteri?

Mengapa tidak ada seorang pun menteri atau timbalan menteri mampu bersuara menuntut peruntukan yang sama daripada Muhyiddin demi kepentingan rakyat yang dianiaya serta UMNO yang dibuli secara nyata itu?

Apakah mereka tidak sedar bahawa kedudukan yang mereka perolehi dalam kerajaan sekarang adalah atas nama UMNO sebagai wadah perjuangan?

Mengapa? Mengapa? Mengapa?

Jika dalam soal sepenting ini pun, UMNO dan Presidennya, selain Ahli Parlimen parti itu yang ada kedidukan dalam kerajaan masih tidak mampu berjuang dan menyingsing lengan, ayat paling sesuai untuk diungkap dan ditujukan ialah – memang patut pun UMNO selama ini kena buli dengan Muhyiddin, Bersatu dan Hamzah Zainuddin.

Ahhh…bukannya Muhyiddin, Bersatu atau Hamzah itu terlalu gagah, tapi UMNO sendiri yang memilih untuk jadi pengecut. 


(Shahbudindotcom 05/02/2021)