Panas! Guan Eng dedah kerjasama DAP-UMNO

 


Panas! Guan Eng dedah kerjasama DAP-UMNO


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keadaan politik negara sangat tidak menentu untuk membuat sebarang keputusan berhubung desa-desus kerjasama parti itu dengan Umno sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Lim mengesahkan bahawa Umno dan DAP ada berbincang ketika krisis politik Perak berlaku baru-baru ini yang menyaksikan pengerusi Umno negeri itu Saarani Mohamad menggantikan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar hujung tahun lalu.

Bagaimanapun kata Lim, apa yang berlaku di Perak terbatas kepada perbincangan saja.

“Di Perak, apa yang berlaku adalah berbincang, belum sampai ke tahap membuat keputusan untuk bersama… berbincang sahaja.

“Jadi, saya rasa tidak salah untuk berbincang,” katanya

Ahli parlimen Bagan itu berpendapat tiada salah untuk DAP kalau sekadar berbincang dengan Umno.

Kalau berbincang pun dianggap salah, katanya, sudah tentu DAP tidak akan menyertai jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan darurat.

Lim berkata demikian semasa menjawab soalan Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Muhammad Asri Mohd Ali dalam program Minda Profesor Negara hari ini.

Sesi membincangkan persoalan sama ada DAP sedia bekerjasama atau tidak dengan Umno di peringkat pusat sebelum atau selepas PRU15. Ia disiarkan secara langsung dalam Facebook turut disertai Presiden MPN, Prof Dr Raduan Che Rose.

Harus galakkan perbincangan

Kata Lim dengan keadaan yang tidak sangat menentu sekarang keputusan berkenaan mewujudkan gabungan dengan parti lain perlu melihat keputusan PRU15.

“Apa yang pasti ialah dalam keadaan sedia ada, PH (Pakatan Harapan), PN (Perikatan Nasional) dan BN, yang mana satu akan menjadi tunjang utama, saya rasa rakyat akan putuskan,” katanya.

Pada masa sama bekas menteri kewangan itu juga berkata kekangan untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bukanlah suatu keadaan yang sihat.

“Dalam kalangan rakyat Malaysia, kita harus mengalakkan perbincangan dan juga sembang antara satu sama lain,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, sewaktu kemelut politik berlaku di Perak pada Dis lalu, langkah Umno menaikkan calon mereka mengisi jawatan menteri besar tertangguh untuk seketika apabila parti itu gagal mendapatkan jumlah majoriti untuk dipersembahkan kepada Sultan Nazrin Shah.

Umno sebelum itu membawa usul percaya Ahmad Faizal sebagai menteri besar dan ia gagal mendapat sokongan majoriti. Semua Adun PH mengundi untuk menolak usul itu bersama Adun Umno.

PAS pula pada awalnya berikrar untuk tidak menyertai pembentukan kerajaan baru negeri, malah parti itu gagal hadir menghadap Sultan Perak seperti yang dititahkan.

Ketika itu ada desas-desus yang mengatakan Umno terbuka mengadakan kerjasama dengan PH – termasuk DAP – bagi membentuk kerajaan negeri.

PAS kemudian mengubah pendirian mereka tidak lama selepas itu dan presidennya Abdul Hadi Awang menghadap sultan untuk meminta maaf.