Tindakan warga maya menyuarakan rasa tidak puas dan menyerang Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di ruangan komen laman Facebook Istana Negara pada hakikatnya bukanlah suatu tindakan biadap atau tidak sopan terhadap Yang Dipertuan Agong.
Jauh sekali ia juga bukanlah suatu bentuk penderhakaan kepada Agong kerana tiada pun kata-kata tidak manis diungkapkan terhadap baginda.
Semua luahan itu, walaupun dalam bentuk serangan kepada Muhyiddin, ia adalah jelas untuk menarik perhatian baginda terhadap tingkah laku Muhyiddin yang dianggap tidak layak lagi duduk di kerusi Perdana Menteri.
Selain terlalu banyak sebab tentang kelemahan dan tidak mampunya beliau menjadi Perdana Menteri, ia diburukkan lagi dari segi keabsahannya yang semakin terang tiada lagi majoriti.
Sebelum ini, dalam ruang komen Facebook Muhyiddin sendiri, tidak kira apa juga hantaran yang dikongsinya, semuanya penuh dengan kata-kata penolakan, tidak puas hati, marah dan gesaan agar beliau meletakkan jawatan.
Jika Muhyiddin sedia meluangkan masa meneliti segala komen-komen tersebut, pastilah bellau insaf dan sedar diri bahawa rakyat Malaysia tidak lagi suka atau menyokongnya.
Malangnya, oleh sebab Muhyiddin ini diketahui mempunyai ego besar sejak dulu lagi dan ini diakui oleh ramai mereka yang pernah bekerja dengannya, maka beliau mungkin memandang sepi saja segala komen-komen negatif terhadapnya itu.
Dalam hal ini, seharusnya Muhyiddin sedar, semua komen itu adalah petunjuk atau isyarat yang tidak baik buat dirinya serta boleh dijadikan sebagai sempadan untuk memperbaiki segala kelemahannya atau jika tidak mampu lagi untuk berubah, sebaiknya berundurlah dengan baik.
Apakah Muhyiddin lupa, ketika menjadi Timbalan Presiden UMNO dulu, beliau sering mengingatkan – berubahlah sebelum rebah?
Kini, dengan luahan tidak puas hari dan serangan rakyat terhadap Muhyiddin sudah merebak hingga ke laman Facebook Istana Negara, ia menunjukkan keadaan sudah benar-benar parah.
Ia bermakna rakyat mahu Agong dan Istana Negara berbuat sesuatu terhadap apa yang mereka luah dan sampaikan itu dengan sesegara yang boleh.
Rakyat akan terus bersuara dan selepas ini apa saja hantaran di laman Facebook Istana Negara yang ada kaitan dengan Muhyiddin, pasti tidak terlepas daripada komen-komen tidak puas hati, marah, menolak serta inginkan beliau diganti segera.
Wujud dan berkembangnya luahan tidak puas hati rakyat di laman Facebook Istana Negara itu juga, baik secara langsung atau tidak langsung, menunjukkan keberadaan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah mengaib dan memalukan Agong sendiri.
Keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini, malah tidak mungkin berlaku jika Muhyiddin lebih awal sedia meletakkan jawatan atau lebih awal daripada itu turut berlapang dada membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan terhadapnya di Parlimen.
Ini tidak, sudahlah tak sudah-sudah mendatangkan kesusahan dan kebencian rakyat, sedar tak sedar, Muhyiddin turut meletakkan Agong dalam keadaan turut sama menanggung beban kepada masalah yang dibawanya.
Tidakkah ini benar-benar memalukan Agong sebenarnya?
Maka, sebagai ketua dan payung negara yang disayangi rakyat, tiada salahnya untuk Agong meneliti segala komen-komen tersebut, sambil memahami suara rakyat yang sedang derita serta merana, seterusnya dipohon agar dapatlah baginda sendiri berbuat sesuatu untuk menyelesaikannya.
Harapan rakyat kini hanya kepada Agong saja kerana bagi rakyat, Muhyiddin tidak diterima lagi sebagai Perdana Menteri, malah tiada apa-apa pergantungan yang rakyat akan harapkan daripadanya.
(Shahbudindotcom 05/02/2021)