JAMZURI ARDANI
Kemahuan akar umbi Umno jelas rasanya. Mereka tidak mahu bersama
PPBM. Inilah naratif yang dijaja oleh team Zahid/ Najib. Tetapi, mereka juga
tidak mahu bersama Anwar dan DAP. Inilah pula naratif yang dijaja oleh team
Anuar Musa dan Hishamuddin. Mereka hanya mahu kerjasama dengan PAS melalui
Muafakat Nasional. PAS secara umumnya dilihat tidak mengancam Umno dari sudut
pembahagian kerusi, kecuali di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Tetapi, ini tidak bermakna kerjasama dengan PAS adalah mudah terutama
dalam soal agihan kerusi dan hubungan parti itu dalam PN. PN adalah pertubuhan
politik yang didaftarkan secara sah, manakala MN adalah pertubuhan yang tidak
berdaftar. Bagi PAS, PPBM ibarat isteri yang sah manakala Umno hanyalah ibarat
perempuan simpanan sahaja. Di Terengganu dan Kedah, adalah sukar untuk akar
umbi Umno menyerahkan dominasi agihan kerusi kepada PAS.
Sekiranya Ummo dan PPBM benar-benar berkerat rotan, PAS terpaksa
memilih satu antara dua. Situasi ini boleh membunuh PAS. Pertama, naratif
'kesatuan ummah' yang dicanang oleh PAS tidak pagi relevan. Kedua, pertembungan
3 penjuru di kawasan dominasi Melayu, terutama di pantai barat tidak akan
memihak kepada PAS. Ketiga, PAS akan sentiasa hidup di bawah bayangan Umno atau
PPBM.
Sekiranya gagasan Gabungan Besar ( Grand Coalition) berjaya
direalisasikan di kalangan blok pembangkang dalam keadaan Umno, PAS, dan PPBM
bertembung sesama sendiri, saya percaya mandat rakyat akan kekal bersama
Pakatan Harapan dalam PRU15. Gabungan besar ini mestilah didominasikan oleh
Pakatan Harapan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim.