Selama ini, terutama ketika era Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, mesyuarat MT UMNO yang wajib disusuli sidang medianya, ia adalah detik yang paling ditunggu-tunggu oleh para petugas media.
Ia bukan saja untuk para wartawan mendapatkan berita mengenai topik perbincangan mesyuarat, malah juga untuk mereka bertanya soalan-soalan lain berkaitan isu semasa negara.
Selalunya Tun Mahathir tidak pernah mengelak untuk menjawab apa juga pertanyaan yang dikemukakan dan dengan itu sidang media selepas mesyuarat MT UMNO adalah sesuatu yang memberi kepuasan kepada para wartawan.
Kemudian, sewaktu Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, perkara yang sama juga diteruskan, walaupun cara beliau menjawab tidaklah sehebat Tun Mahathir.
Ketika era Najib Razak, meski sidang media selepas mesyuarat MT UMNO diteruskan seperti biasa, tetapi setelah muncul isu berkaitan 1MDB seolah-olah sudah wujud sekatan-sekatan tertentu kepada media.
Difahamkan pada waktu itu bukan saja media tertentu dilarang menghadiri sidang media Najib di Bangunan PWTC, malah soalan-soalan sensitif turut dilarang untuk ditanyakan.
Hanya soalan-soalan baik dan berbau syurga saja diberitakan dibenar untuk diajukan.
Namun, di era Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO ini, walaupun banyak isu-isu panas yang timbul atau sengaja ditimbulkan, sidang media selepas mesyuarat MT UMNO sudah hilang seri dan kemeriahannya.
Ia bukanlah sangat disebabkan beliau sebagai Presiden UMNO tidak memegang jawatan Perdana Menteri, namun lebih kerana keengganan atau ketakutannya berhadapan secara terbuka dengan media.
Sudah beberapa kali tiada sidang media diadakan sebaik selesai mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikannya, sebaliknya para wartawan, setelah menunggu sekian lama dan di tengah malam pula, hanya dititipkan dengan sehelai dua kenyataan media saja.
Sesungguhnya ini adalah sesuatu memalukan, bukan saja kepada diri Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO, malah kepada UMNO itu sendiri sebagai parti yang lama, besar, pernah mentadbir negara dan masih dalam kedudukan mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbanyak dalam kerajaan.
Kalau sekadar mahu dikeluarkan sidang media saja, lebih baiklah diberitahu awal-awal supaya petugas media tidak perlu berkumpul beramai-ramai untuk membuat liputan sehingga jauh malam.
Seperti mesyuarat MT UMNO malam tadi, setelah petugas media menunggu hampir sejam untuk membuat liputan barulah mereka dimaklumkan tiada sidang media dan hanya diberikan kenyataan media oleh Ketua Penerangan UMNO saja.
Di waktu itu, semua pemimpin UMNO malah didapati sudah meninggalkan Bangunan PWTC melalui pintu belakang.
Tidakkah ini memperlihatkan UMNO seolah-olah mempermainkan petugas media?
Sudahlah berada dalam kerajaan pintu belakang, takut berhadapan dengan media pun lari ikut pintu belakang juga!!
Kepada UMNO, khususnya Zahid Hamidi, harus beliau sedari bahawa kemampuan berhadapan dengan media, selain perlu dalam konteks menyampaikan maklumat dan keberanian berterus-terang, ia juga adalah wadah untuk menyerlahkan wibawa dan ketrampilan seseorang itu sebagai pemimpin.
Dengan beberapa kali melarikan diri atau takut berhadapan dengan media, Zahid Hamidi seolah-olah hanya mengesahkan dirinya kurang berwibawa berbanding semua Presiden UMNO sebelumnya.
Sepatutnya dengan tidak memegang jawatan Perdana Menteri, inilah peluang terbaik untuk Zahid Hamidi menunjukkan ketrampilannya yang tidak kurang berbanding semua Presiden UMNO sebelumnya, walau beliau tidak menjadi ketua kerajaan dalam waktu yang sama.
Setidak-tidaknya, selari dengan keinginan UMNO mahu PRU segera dan kembali sebagai tunjang kerajaan, ternampak jugalah wibawanya atau tergerak hati pengundi untuk menjadikannya sebagai Perdana Menteri selepas ini.
Tetapi, dengan selalu takut dan kerap lari-lari daripada media, pendirian pula banyak flip-flop, bagaimana beliau mahu memacu UMNO dan BN ke arah kemenangan melalui penampilan dirinya sebagai jenderal perang yang tentunya impian dalam hati dan ingin dikejar adalah kerusi Perdana Menteri? (Shahbudindotcom 07/01/2021)