BAWA USUL KELUAR PN KE PERHIMPUNAN AGUNG UMNO ADA RISIKO BUAT ZAHID HAMIDI


Seorang pemimpin Bersatu hanya tertawa kecil dengan keputusan mesyuarat MT UMNO malam semalam yang akhirnya tidak membuat apa-apa ketetapan untuk keluar daripada kerajaan PN.


Sebaliknya, mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi malam tadi memutuskan untuk membawa usul hubungan tegang parti itu dengan Bersatu ke Perhimpunan Agung yang dijadualkan pada 31 Januari ini.


Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam kenyataan medianya berkata, MT mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan usul yang dikemukakan oleh 189 daripada 191 bahagian parti.


Menurut pemimpin Bersatu itu, ketetapan MT UMNO itu seumpama seseorang yang ingin menyerang lawan kelahinya, tetapi memaklumkan tarikh serta masa untuk melakukan serangan.


Tindakan UMNO itu, katanya, seperti memberi masa kepada Bersatu dan PN untuk bersiap sedia menghadapi apa yang mahu dilakukan, sedangkan untuk menjatuhkan lawan, ia sepatutnya dilakukan secara mengejut dan tanpa dijangka.


“Ini benar-benar kelakar, UMNO sepatutnya tidak menangguhkan lagi keputusannya kerana MT UMNO ketika tidak berlangsung Perhimpunan Agung, adalah badan pembuat keputusan yang tertinggi yang diiktiraf parti.


“Kenapa harus ditangguhkan lagi kepada Perhimpunan Agung, bukankah usul daripada bahagian-bahagian sudah memadai untuk MT UMNO membuat keputusan mengikut apa yang dimahukannya?,” tegas beliau.


Pemimpin tersebut juga menyifatkan keputusan MT UMNO itu seperti memperlekeh tindakan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob yang sudah pun berkorban meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia atau MPOB, baru-baru ini.


Tambah beliau lagi, menangguhkan keputusan yang boleh diputuskan oleh MT UMNO kepada Perhimpunan Agung hanya menunjukkan Zahid Hamidi tidak cukup yakin dengan pendiriannya sendiri serta memperlihatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sudah kalah dari segi moral.


Ini juga, kata beliau lagi, bukan kali pertama Zahid Hamidi bersikap flip-flop dalam tindakan dan gebang politiknya.


“Saya fikir reputasi beliau telah terjejas dan tidak lagi diyakini kerana kononnya akar umbi UMNO ketika ini tengah bersemangat untuk berpisah dengan Bersatu, keluar daripada kerajaan dan bersiap sedia untuk PRU15.


“Zahid Hamidi nampaknya telah mengecewa dan menghampakan mereka,” ujarnya lagi.


Selain itu, pemimpin Bersatu itu berkata, membawa isu UMNO keluar daripada kerajaan ke Perhimpunan Agung juga boleh mengundang risiko yang tidak dijangka.


Beliau berkata, apabila isu berkenaan di bawa ke Perhimpunan Agung nanti, tidak mustahil ia menjadi “boomerang” atau serangan yang berbalik kepada Zahid Hamidi sendiri.


Ini kerana, katanya, bukanlah rahsia lagi beberapa pemimpin UMNO sendiri seperti Tengku Adnan Tengku Mansor, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa adalah antara yang tidak setuju dengan tindakan UMNO mahu keluar daripada kerajaan PN, apa lagi mendesak PRU diadakan di ketika Covid19 masih belum mereda.


“Akhirnya di mana maruah Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO jika pada Perhimpunan Agung UMNO nanti bergema nada berbelah bahagi dengan tindakan UMNO mahu keluar daripada kerajaan dan mendesak PRU segera diadakan?” soalnya. (Shahbudindotcom 07/01/2021)


No comments: