Mana pelan pembangunan Kampong Bharu, Annuar jangan sibuk berpolitik - Syed Badli

 


Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dinasihatkan jangan terlalu sibuk berpolitik mendedahkan surat Presiden Umno kepada Yang di-Pertuan Agong berstatus sulit, sedangkan janji menyelesaikan pembangunan Kampong Bharu, Kuala Lumpur 'tergantung tidak bertali'.

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman berkata, janji kepada penduduk Kampong Bharu telah dibuat sejak sebelum Annuar menjadi menteri lagi, kononnya nilai pampasan tanah boleh ditingkatkan kepada lebih RM1,000 sekaki.

Namun katanya, isu tersebut terus tidak kedengaran ketika Annuar diberi tanggungjawab mengambilalih isu berkenaan dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelumnya.

"Sebagai Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar perlu kurangkan berpolitik dan fokus isu rakyat.

"Setakat hari ini beliau masih gagal membentangkan pelan pembangunan Kampong Bharu sedangkan plean tersedia dari kerajaan PH tidak dilaksanakan dengan pelbagai alasan remeh.

"Ramai penduduk dan pemilik tanah masih tertanya-tanya apakah tindakan kerajaan sekarang terhadap pelan pembangunan Kampung Bharu. Ketika beliau belum menjadi menteri, pelbagai kritikan dilontarkan terhadap pelan tersebut yang direncana oleh kerajaan PH.

"Namun setelah bergelar menteri semua yang dikatakan sebelum ini tinggal sepi, sebaliknya beliau lebih banyak berpolitik demi mempertahankan jawatan dan kedudukan," katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, Syed Badli yang merupakan anak jati Kampong Bharu mencadangkan agar Annuar meletak jawatan sebagai menteri sekiranya tidak mampu melaksanakan tugasan beliau dengan baik.

"Saya ingin menyarankan kepada Annuar jika beliau rasa terbeban dengan tugas sebagai menteri, sebaik-baiknya beliau berundur sahaja.

"Beliau boleh memberikan fokus untuk terus berpolitik tanpa dibebani perihal rakyat," katanya lagi.

Untuk rekod, Annuar belum pernah mengemukakan tarikh baharu untuk menyelesaikan isu pampasan tanah penduduk Kampong Bharu atau pelan pebangunan yang lebih baik sejak memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.

 

No comments: